Ish liatnya bila hari ni hari Ahad dan anda tahu anda perlu masuk semula ke pejabat esok bagi meneruskan rutin harian yang biasanya memenatkan malah memberi tekanan pada jiwa dan raga.
Sudahlah kerja itu mencabar kemampuan anda, lebih parah bila ada antara rakan sekerja di pejabat yang sering menjadikan anda objek untuk melepaskan amarah atau ‘mencederakan’ anda menggunakan psikologi. Ngeri tak?
Tanpa sedar, anda sebenarnya telah dibuli di pejabat. Ingat, sesiapa sahaja tanpa mengira umur atau pangkat berisiko untuk dibuli lebih-lebih lagi jika anda itu seorang individu yang jenis menurut atau terlalu berlemah-lembut.
Nah ini Wanista kongsikan 10 tanda yang anda itu mungkin merupakan mangsa buli di tempat kerja.
#1 Tidak Lagi Merasakan Kerja Itu Menyeronokkan
Jika anda sering merasa loya atau panik malam sebelum ke tempat kerja, itu adalah salah satu tanda bahawa anda mungkin merupakan mangsa buli, jelas pakar.
Sementara semua orang bersemangat untuk memulakan rutin kerja mereka pada pagi Isnin, anda pula seperti bernafas dalam air -berasa lemas dan tertekan sebaik hari Isnin kunjung tiba. Percaya atau tidak, perasaan gementar dan tidak seronok yang dialami itu sebenarnya ada kaitan dengan situasi atau aura negatif di pejabat.
#2 Terlalu Kerap Dikritik
Eh, rasanya kerja yang kita buat ni dah cukup baik, dah cukup bagus. Jadi apa lagi yang tak kena bila bos atau rakan sejawat asyik menegur dan mencari kesalahan kita? Bukan sekali atau dua kali, ini boleh dikatakan setiap hari!
Itu tandanya anda dibuli. Sama ada pembuli sengaja tegar mencabar kesabaran anda atau si dia berniat jahat untuk menjatuhkan anda, dengkilah tu. Jaga-jaga.
#3 Lebih Banyak Menengking Dari Berbincang
Disapa seperti manusia yang tidak bermaruah. Jika anda selalu ditegur dengan cara kasar sama ada melalui tengkingan, jeritan atau kata-kata kesat di hadapan pekerja-pekerja lain. Itu tandanya anda mungkin dibuli.
#4 Jadi Bahan Gosip & Fitnah
Paling jelas anda dibuli bila anda dapat tahu bahawa ada makhluk tuhan dalam kalangan kawan sepejabat yang menyebarkan gosip dan fitnah berkenaan diri anda. Ini lebih parah dan sukar dihentikan kerana ia berlaku secara senyap tanpa pengetahuan anda.
#5 Anda Tidak Diundang Untuk Ikut Serta Dalam Majlis Keramaian Pejabat atau Mesyuarat
Anda terasa dipulaukan oleh bos atau rakan sejawat, sama ada dari segi sosial atau mental? Ya, memang sah anda dibuli.
#6 Sabotaj
Orang atasan sentiasa mengambil kesempatan dengan ‘menggunakan’ anda untuk perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
Sebagai contoh, kerja anda adalah untuk fokus menyiapkan kertas cadangan projek tetapi disuruh untuk membuat panggilan atau menyusun jadual pertemuan seperti seorang setiausaha. Ini sengaja dilakukan terhadap anda supaya anda gagal melakukan sesuatu tugasan.
#7 Menukar Jadual Sewenangnya
Mereka yang bertanggungjawab sesuka hati menukar jadual kerja anda dengan menjadikannya lebih sukar. Jika bos anda sering menukar jadual anda atau menetapkan tugasan di saat-saat akhir tanpa kerelaan anda, anda telah dibuli.
#8 Lembu Punya Susu Tapi Sapi Yang Dapat Nama
Bersusah payah anda bersengkang mata demi menyiapkan projek penting itu tetapi ahli kumpulan anda pula yang mengambil tempat seolah dia yang menyiapkan semuanya dari awal hingga akhir. Oh tidak! Anda telah dibuli kerana tidak semena-mena mereka telah mencuri kredit dari anda.
#9 Masa Cuti Digunakan Untuk Mengenang Nasib
Masa cuti yang sepatutnya digunakan untuk bersantai dan menghabiskan masa bersama keluarga bertukar kepada adegan drama sedih.
Anda lebih banyak termenung mengenangkan nasib dan berkira-kira sama ada mahu berhenti atau tidak dari jawatan yang sekarang. Ya, itu tandanya anda dibuli. Anda diselubungi perasaan susah hati setiap masa menyebabkan anda memencilkan diri. Sampai keluarga pun naik marah dan bosan dengan perangai anda tu!
#10 Kesalahan Anda Diungkit Setiap Kali
Sudah kerap anda dituduh tanpa usul periksa dan kesalahan lampau anda sering diungkit untuk menguatkan tuduhan mereka terhadap anda. Itu suatu pembulian.
Apa pun, jika anda sedar anda dibuli lekas bangkit dapatkan bantuan. Jangan dibiar kerana masalah psikologi itu boleh mempengaruhi kesihatan mental anda. Jika lambat bertindak, anda mungkin mengalami kemurungan atau lebih parah, Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) yang akan memakan masa berbulan hingga bertahun untuk dipulihkan.
PTSD akan menyebabkan penghidapnya tidak dapat mengawal fikiran menyebabkan mereka sering kali terdedah kepada flashback (memori imbas kembali), mimpi ngeri, trauma dan gelisah.
Rujukan –Forbes