Mengejarkan Umrah dan Haji impian bagi setiap seorang Muslim. Peluang sebegini once in a life time, jika rezeki dapat pergi Tanah Haram merupakan suatu imbasan kehidupan sebagai seorang insan kerdil yang menumpang kesenangan dibumi. Menziarahi makam Nabi tercinta Nabi Muhammad S.A.W dan melihat keindahan, kebesaran rumah Allah S.W.T, Kabaah.
Kini ramai yang mengambil peluang untuk merebut tempat kesana. Ada juga yang menjadikan pakej Umrah sebagai hadiah kepada kedua ibubapa atau sebagai trip keluarga besar. Seronok bila dapat mengejar ibadah bersama keluarga sebenarnya.
Pasti ada yang diantara anda juga mempunyai niat sebegitu bukan? Membeli pakej umrah bukanlah seperti membeli pakej percutian, anda perlu tahu setiap perkara yang disediakan oleh pihak agensi pelancongan. Jangan suka-suka hati bersetuju dengan pakej yang ditawarkan pada dengan harga yang rendah. Nanti takut banyak pula musibatnya!
Penulis akan berkongsi kepada anda perkara yang anda perlu tahu sebelum anda singgah ke agensi pelancongan yang menyediakan pakej umrah. Jom baca:
Pergi Dengan Siapa
Ini perkara asas dan yang paling penting untuk melancarkan perjalanan anda ke Tanah Haram. Kerajaan Arab Saudi telah meletakkan syarat bagi rakyat Malaysia yang ingin mengejarkan umrah di Tanah Haram. Setakat ini, syarat yang dikenakan bagi mereka yang layak memohon Visa Umrah ialah bagi wanita yang berumur 46 tahun ke atas dan bagi yang anda yang dibawah umur tersebut, wajib pergi bersama mahram iaitu suami, abang, adik lelaki, atau saudara lelaki sebelah ibu. Proses permohonan Visa Umrah merupakan perkara yang paling rumit, jika ada yang ingin membawa keluarga tiri atau angkat, yang ini anda kena lebih kena keterangan lanjut oleh pihak agensi. Kerana ia memerlukan beberapa kelulusan dan surat bersyarat.
Jenis Penerbangan Yang Ditawarkan
Ada dua jenis penerbangan yang biasa ditawarkan iaitu penerbangan terus atau penerbangan transit. Masa penerbangan yang biasa diambil untuk sampai ke Arab Saudi 5 hingga 6jam, itu jika anda ambil penerbangan terus dari Saudia Airlines, Malaysia Airlines dan AirAsia. Dari pengalaman Penulis hanya 3 penerbangan ini sahaja yang menyediakan penerbangan terus kesana. Bagi penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia, mereka akan turun di lapangan terbang Jeddah, manakala Saudia Airlines diberi pilihan turun ke Jeddah atau Madinah.
Jika anda turun dilapangan terbang Madinah, masa perjalanan lebih cepat dan tidak berapa memenatkan tapi jika anda turun dilapangan terbang Jeddah, anda perlu terus perjalanan dengan menaiki bas selama 4-8jam untuk sampai ke Madinah (mengikut keadaan trafik). Ini kerana, kebanyakan pihak agensi akan memulakan program di Madinah barulah selepas itu ke Makkah.
Bagi penerbangan transit pula, anda perlu transit beberapa jam mengikut waktu penerbangan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, jika pihak agensi menawarkan penerbangan dari Qatar Airways, penerbangan anda dari Kuala Lumpur akan singgah ke Doha sebelum meneruskan semula penerbangan ke Jeddah atau Madinah. Pakej dengan penerbangan transit biasanya lebih murah berbanding penerbangan terus tapi ia akan ‘mencuri’ beberapa jam anda.
Jarak, Kemudahan dan Kawasan Hotel
Yes, jarak hotel anda dari Masjidil Haram juga penting. Ada jarak hotel yang jauh sehingga 1 kilometer, ini agak memenatkan bagi orang tua anda untuk berjalan kaki ke Masjidil Haram. Pasti kita mahu menghabiskan banyak disana untuk beribadah dan mengejarkan solat berjemaah. Jarak hotel yang paling baik ialah 250 hingga 500 meter, sesuai untuk ibubapa dan anda yang membawa keluarga besar. Ada pihak agensi yang bagus menyediakan bas pada setiap hari mengikut waktu solat, tapi tidak banyak dan Penulis tidak berapa pasti jika masih ada atau tidak.
Jangan lupa untuk bertanya, adakah mereka menyediakan hidangan makan untuk sarapan pagi, tengahari dan malam. Dan tanya juga, jenis masakan apa? Malaysia? Indonesia? Arab? Penulis bukan nak ajar anda menjadi pelanggan yang cerewet ini untuk melancarkan pergerakan anda disana, supaya anda lebih bersedia dengan apa yang ditawarkan. Untuk bilik hotel pula, pihak agensi akan memberi pilihan untuk anda tinggal dua, tiga, empat malah lima orang sebilik. Wajib tahu setiap bilik harganya berlainan. Jika anda pergi bersama suami tetapi memilih pakej harga empat orang sebilik, usah risau akan duduk bersama jemaah wanita yang lain. Bonusnya lagi, anda dapat berkenalan dengan kawan baru 🙂
Kemudahan dan kawasan di hotel juga anda perlu titikberatkan, hotel akan menjadi rumah untuk anda selama 12hari. Pastikan ia mempunyai kemudahan seperti dobi, berdekatan dengan kawasan pasaraya, restoran, money-changer dan lain-lain.
Ketahui Peranan Pengiring dan Mutawwif
Sepanjang perjalanan anda dari Kuala Lumpur sehingga pulang semula ke tanah air anda akan dijaga dan dibimbing oleh pengiring dan Mutawwif. Mutawwif berperanan memberi didikan dan mengajar anda cara yang betul untuk beribadah disana. Jadi pastikan mereka seseorang yang berkelayakan dan mempunyai sijil yang sah. Nasihat penulis pilihlah agensi yang menyediakan Mutawwif dari Malaysia. Ada pihak agensi mengambil kesempatan untuk menjimatkan kos dengan mengambil Mutawwif dari warga Pattani atau Indonesia. Bukan apa, takut nanti mungkin akan ada sedikit masalah komunikasi, kerana disana anda akan bergantung pada mereka jika mempunyai sebarang kesulitan yang berlaku.
Tahu Jadual Perjalanan dan Proses A-Z
Sangat penting dan wajib tahu tentang perjalanan dan proses mengenai Umrah, jangan pakai semborono sahaja. Sekurang-kurangnya biarlah anda nampak sudah ada preparation sebelum bertanya lebih lanjut di agensi. Perkara ringkas yang anda perlu tahu tentang pakej umrah ialah:
⦁ Pakej Umrah biasanya selama 10-12hari, bergantung pada jadual penerbangan. Serta dapatkan jadual, masa dan tarikh penerbangan.
⦁ Program pakej akan bermula di Kuala Lumpur terbang ke Jeddah/Madinah, kemudian aktiviti ziarah di Madinah(3-4hari) dan seterusnya ke Makkah untuk urusan lengkap ibadah Umrah
⦁ Tanya dan catit setiap keperluan yang perlu disediakan. Sebagai contoh, keperluan untuk memohon Visa Umrah yang wajib ada seperti passport, gambar dan beberapa perkara mengikut syarat yang ditetapkan.
⦁ Ambil tahu berapa lama proses dan bagaimana proses Visa Umrah dikeluarkan. Serta, jangan takut untuk bertanya apa yang disediakan oleh pihak agensi sekiranya permohonan Visa anda tidak berjaya atau penerbangan anda dibatalkan. Adakah anda diganti dengan pakej umrah yang lain atau deposit anda dipulangkan semula. Pastikan anda dan agensi mendapat win-win situation.
Kursus Umrah dan Cenderahati
Dari pengalaman penulis, setiap agensi pelancongan akan menyediakan perkhidmatan kursus Umrah. Jadi bagi penulis anda wajib menghadiri kursus tersebut bagi persediaan awal. Ketahui cara bacaan, perkara yang harus, sunat dan banyak lagi tentang Umrah. Selain itu, jangan segan untuk bertanya apa cenderahati yang anda akan dapat selepas mendaftar dengan mereka.
Cenderahati yang biasanya diberi ialah bagasi pakaian, buku bacaan doa, air zam zam, kain ihram atau telekung dan lain-lain bergantung keistimewaan agensi tersebut.
Harga dan Cara Pembayaran
Bab ini paling akhir penulis nak cerita, sebab apa? Sebab anda boleh pertimbangkan dengan perkara diatas dengan harga yang ditawarkan. Harga pakej umrah yang paling minima ialah diantara RM5,900 sehingga RM6,900. Tidak akan ada pakej Umrah yang sehingga RM9,000 keatas kecuali pakej Umrah eksklusif atau private.
Jika anda sudah berkenan dengan mana-mana pakej yang ditawarkan, minta pihak agensi sediakan harga deposit dan cara pembayaran. Dari pengalaman penulis, deposit yang diambil dari agensi hanya sebanyak RM500 hingga RM1,500 bagi setiap pendaftaran. Bagi bayaran penuh pula akan dilakukan selepas keputusan permohonan Visa lulus atau sebulan sebelum tarikh penerbangan.
Jadi inilah serba sedikit penulis dapat kongsikan bersama anda. Tips diatas adalah dari pengalaman penulis sendiri, jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, jangan segan silu untuk tinggalkan komen di artikel ini.
Semoga perjalanan dan proses anda untuk mengejarkan Umrah berjalan lancar.