Seorang lelaki diberi pampasan AS$675,000 (RM2.7 juta) selepas satu alat yang doktor giginya salah letak ketika dia menjalani proses menampal saluran akar gigi didapati berada di dalam perutnya beberapa hari kemudian.
Janus Pawlowicz berkata, dia menjalani rawatan di klinik rakan lamanya, Dr Beata Kozar-Warchalowska di Des Plaines, Illinois, dua tahun lalu untuk menjalani prosedur menampal saluran akar giginya.
Doktor itu kemudian memberitahunya, satu alat yang digunakannya hilang.
“Doktor itu tahu dia terjatuh alat berkenaan tetapi tidak tahu apa terjadi dengannya. Dia mencarinya, tetapi tidak jumpa. Dia berjanji akan telefon anak guam saya jika dia menemui alat itu,” kata peguam Pawlowicz, Rob Kohen.
Beberapa hari kemudian Pawlowicz mengalami sakit perut yang amat sangat.
Selepas menjalani pemeriksaan dan imbasan, doktor mendapati alat doktor gigi berkenaan berada di dalam perutnya. Alat yang dikenali sebagai ‘barbed breach’ dikeluarkan menerusi pembedahan kecemasan.
“Saya sudah lama menjadi pelanggannya dan tidak menyangka ini akan berlaku,” kata Pawlowicz.
Dia menyaman Beata dan diberi pampasan sebanyak AS$675,000.
“Walaupun kecil, alat itu boleh membunuh saya,” katanya. – Agensi