Model wanita yang bergambar disamping bekas gengster Singapura menyertai tabligh, Abang Long Fadhil menjelaskan tatu di mukanya hanya solekan untuk sesi penggambaran.
Norsyafiqa Salamat, 22, berkata beliau bukan pasangan Muhd Fadhil Husin dengan gelaran ‘Kak Yong’ seperti yang didakwa pengguna media sosial.
“Walaupun pada awalnya saya tidak menyenangi solekan tatu di muka itu, namun terpaksa akur kerana tuntutan kerja sebagai model memerlukan saya memenuhi kehendak pelanggan berdasarkan bayaran diterima,” katanya dilapor Harian Metro.
Semalam, Fadhil dilaporkan terpaksa menafikan gadis itu merupakan teman wanitanya setelah dituduh pelbagai pihak di internet.
Kata Norsyafiqa pula, beliau tidak menyangka gambarnya itu menjadi bualan internet sehingga menimbulkan spekulasi.
“Memang saya tahu kisah bekas gengster Singapura itu di Youtube ini, tetapi tidak pernah mengenalinya sebelum kami digandingkan pada sesi penggambaran itu,” katanya.
Sementara itu, sebuah syarikat minyak pewangi rambut tampil meminta maaf kerana gambar itu menimbulkan kekeliruan orang ramai.
Pengurus Operasi Red Olivia Sdn Bhd Abdul Azeem Abdul Rahim berkata, pihaknya tidak menyangka tindakan itu menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini walaupun mesej yang cuba disampaikan adalah berniat baik.
“Sebagai pengeluar produk minyak pewangi rambut khusus untuk wanita bertudung, awalnya tujuan gambar berkenaan adalah untuk menyampaikan mesej jangan menilai seseorang daripada luaran.
“Jadi kami gunakan khidmat bekas gangster Singapura, Muhd Fadhil Husin, 29, atau diberi gelaran Abang Long Fadhil sebagai model produk untuk memberi gambaran walaupun luarannya bertatu, dalamannya (iman) berbeza di samping menggunakan seorang lagi model wanita bertudung tetapi disolek seolah-olah dia juga bertatu,” katanya kepada akhbar itu.