Baru semalam penulis berpeluang untuk berjumpa dengan Zirafah! Siapa? Dah tentulah Lee Kwang Soo, salah seorang ahli Running Man yang juga dikenali sebagai “Price Of Asia”. Untunglah Samsung Malaysia undang penulis untuk ikut serta dalam majlis pelancaran Samsung Galaxy S7 Edge di KLCC pagi semalam. Kalau tak, kempunan jugalah penulis nak bertemu dengan si tinggi lampai tu. Untuk pengetahuan anda, Lee Kwang Soo adalah merupakan duta untuk siri telefon pintar baharu Samsung Galaxy S7 Edge untuk Korea dan Malaysia.
Lantas itu juga, tiba-tiba penulis rasa macam nak makan Tteokbokki! Anda pernah rasa? Tteokbokki adalah sejenis sajian savouri Korea yang menggunakan kek beras dan pes cili sebagai ramuan utama. Bak kata orang malaysia, makanan ni lebih kurang macam Yong Tau Foo. Oleh sebab itu, penulis nak berkongsi resepi bagaimana anda boleh buat sajian Tteokbokki dengan cara yang paling ringkas di rumah!
Bahan-Bahan:
- Beberapa butir ikan bilis bersaiz besar (rencah kuah)
- Rumpai Laut Kering (rencah kuah)
- Kek Beras (boleh beli di pasaraya AEON)
- Daun Bawang (hiasan)
- Pes Cili jenis “Sunchang Gochujang” (secukup rasa)
- 2 biji Telur (yang telah direbus)
- Gula (secukup rasa)
- Bijan (hiasan)
- Serbuk Cili (Chili flakes)
- Aneka bebola/kek ikan
Cara-Cara:
- Reneh air dalam periuk. Sambil itu, kupas dan bersihkan ikan bilis anda untuk dijadikan perencah enak pada kuah Tteokbokki anda.
- Setelah air renehan cukup panas, masukkan ikan bilis serta rumpai laut kering ke dalam periuk.
- Biarkan kesemua perasa itu bergabung dalam air renehan untuk 10 hingga 15 minit.
- Sementara menunggu, anda boleh mula potong kek beras kepada beberapa bahagian. Jangan terlalu panjang dan jangan pula terlalu pendek. Jangan lupa untuk hiris daun bawang sebagai penambah seri kepada masakan Tteokbokki ini.
- Buat campuran pes dalam mangkuk kecil yang terdiri daripada 1 setengah cawan pes cili, satu sudu makan emping cili (chili flakes) dan satu sudu makan gula. Gaul sebati.
- Okay, jika anda rasa air renehan tadi sudah cukup sempurna, alihkan ikan bilis dan rumpai laut yang anda renehkan tadi daripada periuk. Selepas itu, baru anda mula masukkan kek beras berserta campuran pes cili yang anda telah gaulkan tadi.
- Setelah beberapa ketika, masukkan pula hirisan daun bawang, telur dan bebola/kek ikan pilihan anda.
- Biarkan ia masak sehingga kuah mula memekat.
- Kacau secara perlahan supaya konsistensi sajian tidak rosak.
- Jangan lupa taburkan bijan!
Tonton Pautan Video Demonstrasi Memasak Tteokbokki
Okay! Mudah kan? Sekarang, anda bolehlah makan Tteokbokki sambil menonton episod Running Man yang terbaru di rumah! Penulis yakin, mesti lagi feel nanti! Selamat Mencuba!