Mungkin setiap ibu bapa tertanya mengapa sistem penghadaman yang baik penting untuk kesihatan menyeluruh anak anda?
Pakar nutrisi Dr Koh Chu Siang berbincang cara meningkatkan kesedaran tentang nutrisi yang baik dan kesihatan menyeluruh di kalangan kanak-kanak.
Sistem penghadaman memainkan peranan penting untuk kesihatan anak anda dalam beberapa aspek berbeza. Berikut adalah antara fungi-fungsi penting sistem penghadaman:
Memastikan penghadaman yang baik
Sistem penghadaman kita memecahkan makanan kepada nutrien yang akan diserap dan digunakan oleh badan. Sisa buangan daripada proses penghadaman disingkirkan daripada badan dalam bentuk najis. Bakteria yang baik di dalam usus memastikan sistem penghadaman yang sihat bagi membolehkan penyerapan nutrisi yang berkesan, pengurangan pembiakan bakteria merbahaya, peningkatan bakteria baik dan pembentukan najis yang lembut agar masalah sembelit dapat dielakkan.
Memastikan sistem imun berfungsi dengan baik
Ramai di antara kita tidak mengetahui yang 70% sel-sel imun terletak di dalam sistem penghadaman. Oleh itu, kesihatan sistem penghadaman yang baik turut menyumbang kepada kesihatan sistem imunisasi yang baik. Kajian menunjukkan prebiotik boleh membantu dalam memastikan kesihatan sistem penghadaman sentiasa dalam keadaan baik serta mengurangkan risiko jangkitan di kalangan kanak-kanak dan serangan penyakit seperti dermatitis atopic dan penyakit radang usus.
Menyokong pembelajaran dan perkembangan menyeluruh
Sistem penghadaman memainkan peranan penting dalam memastikan anak anda kekal sihat dan ceria. Sistem penghadaman yang tidak sihat selalunya dikaitkan dengan simptom-simptom seperti kembung perut, sembelit, cirit-birit, sakit perut dan kurang selera makan. Simptom-simptom yang tidak selesa ini boleh memberi kesan negatif kepada konsentrasi, daya pembelajaran dan juga kesihatan mental anak anda. Oleh itu nutrisi yang baik sangat penting untuk menyokong kesihatan sistem penghadaman yang baik, bagi memberikan kesan positif kepada pembelajaran optimum dan perkembangan kanak-kanak.
Bagaimanakah untuk Mengenal Pasti Sistem Penghadaman yang Tidak Sihat?
Sistem penghadaman yang tidak sihat boleh ditentukan melalui beberapa petunjuk. Jika sistem penghadaman anak anda tidak sihat dan tidak berfungsi dengan baik, simptom-simptom yang kebiasaannya berlaku adalah kurang selera makan, kembung perut atau mual. Sistem penghadaman yang tidak sihat juga boleh mengakibatkan sembelit, hal ini berlaku apabila anak anda sukar untuk membuang air besar disebabkan oleh najis yang keras, kering dan padat.
Bagaimanakah untuk Memastikan Sistem Penghadaman Anak Saya Sentiasa Sihat ?
Cuba tip-tip berikut. Kesihatan sistem penghadaman yang baik menyumbang kepada kesihatan menyeluruh dan menyediakan asas untuk kesihatan yang lebih baik ketika remaja dan di usia dewasa.
Masukkan Prebiotik dalam diet harian anak anda
Prebiotik adalah sumber makanan yang membekalkan bakteria baik dalam sistem penghadaman dan selalunya terdapat dalam makanan seperti lik, asparagus, akar chicory, artichoke Jerusalem, bawang putih, bawang, gandum, oat dan kacang soya. Sesetengah produk susu formula untuk kanak-kanak turut ditambah dengan prebiotik seperti frukto-oligosakarida (IcFOS) dan galakto-oligosakarida (GOS) yang boleh membantu mengekalkan persekitaran usus yang baik. Beberapa kajian telah membuktikan yang campuran prebiotik oligosakarida dengan frukto-oligosakarida (IcFOS) dan galakto-oligosakarida (GOS) dalam nisbah 9 kepada 1 boleh membantu mengekalkan persekitaran usus yang baik melalui pelbagai cara:
- Menyokong pertumbuhan bakteria baik
- Mengurangkan pertumbuhan bakteria merbahaya
- Menyokong perlindungan halangan sistem penghadaman yang lebih baik
- Menjadikan najis lebih lembut untuk pembuangan air besar yang lebih mudah
Galakan anak mengambil lebih banyak serat dan air
Sistem penghadaman kita juga memerlukan air dan serat untuk berfungsi dengan baik. Panduan Pemakanan Malaysia untuk Kanak-Kanak dan Orang Dewasa mencadangkan kanak-kanak berusia di antara 3 hingga 6 tahun sepatutnya mengambil dua hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari namun kebanyakan kanak-kanak di Malaysia tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran secara mencukupi yang membekalkan sumber serat untuk memudahkan pembuangan air besar. Untuk melatih anak anda mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran secukupnya dari kecil, sebagai permulaan, anda boleh memberikan mereka sayuran yang manis seperti lobak merah, brokoli, jagung dan ubi keledek
Selain itu, anda juga perlu memastikan anak anda minum air secukupnya, hal ini kerana kekurangan pengambilan air akan menyebabkan sembelit. Panduan Pemakanan Malaysia untuk Kanak-Kanak dan Orang Dewasa turut mencadangkan kanak-kanak berusia di antara 2 hingga 3 tahun sepatutnya minum 1 hingga 2 gelas air masak sehari manakala kanak-kanak berusia empat tahun ke atas perlu minum 6-8 gelas air masak sehari.
Jadikan Senaman Sebahagian daripada Rutin Harian Anak Anda
Para pakar turut menggalakkan anak anda menjadi aktif secara fizikal kerana ia menyokong kesihatan sistem penghadaman yang baik. Tambahan lagi, pergerakan aktif menyokong perkembangan fizikal anak anda dan dapat mengelakkan gaya hidup yang tidak aktif.