Jenama gaya hidup dan beachwear terkenal, Rip Curl telah menganjurkan acara membersihkan pantai yang pertama di Port Dickson pada 9 Mei yang lepas bersama pelajar-pelajar dari SMK Raja Jumaat. Turut hadir juga adalah bekas Miss World Malaysia, Nadia Heng, yang turut membantu dalam menganjurkan majlis itu, dan juga Edmund Lau dari Reef Check Malaysia.
Acara ini bermula pada awal pagi di Royal Port Dickson Yacht Club, dimana 30 pelajar sekolah telah diberi taklimat mengenai pembersihan pantai dan telah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk mengumpul sampah di kawasan pantai di hadapan Yacht Club.
Selepas pembersihan, para peserta berkumpul bersama-sama sekali lagi untuk mendengar ceramah oleh Nadia Heng mengenai pencemaran dan kaedah kitar semula, dan oleh Edmund Lau, Pengurus Program di Reef Check Malaysia, yang memperkenal usaha-usaha pemuliharaan marin di kawasan pantai, di Malaysia.
“Rip Curl sentiasa menjadi penyokong kuat usaha alam sekitar, kerana ia adalah salah satu nilai teras jenama ini untuk bertanggungjawab dalam memelihara alam sekitar pantai Malaysia,” kata Elfie Jane, Pengurus Pemasaran Rip Curl Malaysia.
Menurut Elfie Jane, Rip Curl Malaysia memutuskan untuk mengambil bekas ratu cantik dan selebriti Nadia Heng untuk turut serta dalam program ini apabila mereka mendapat tahu bahawa Nadia berasal dari Port Dickson, dan beliau juga telah menganjurkan aktiviti membersihkan pantai berskala kecil sebelum ini.
“Program ini adalah sesuatu yang kedua-dua Rip Curl dan Nadia sukai, dan kita juga mahu melibatkan pelajar sekolah supaya kita dapat menyebarkan kesedaran mengenai isu alam sekitar dan pemuliharaan kepada orang-orang yang lebih muda,” tambah Elfie Jane.
“Kami merancang untuk mengadakan program seperti ini secara tetap pada masa hadapan, dan kami juga ingin melibatkan kawasan-kawasan pantai yang lain di Malaysia.”