Dope Alley, Subang Jaya — Menyediakan Makanan Jalanan Thai

10704192_722492901133410_3011675569952693524_n

Jika anda biasa ke Thailand, sudah pasti anda tahu mengenai hidangan utama Thai seperti Kuetiau Reua atau boat noodle yang sangat mudah didapati di pinggir-pinggir jalan. Makanan Thai terutamanya boat noodle kini sudah menjadi kegilaan rakyat Malaysia sehinggakan kini anda tidak perlu lagi pergi jauh sehingga ke Thailand, kerana di Dope Alley, anda boleh menikmati hidangan boat noodle yang tidak perlu diragui status halalnya kerana pemiliknya adalah seorang Muslim.

Baru berusia 23 tahun, pemiliknya, Muhammad Syamim Abd Rahman ternyata bijak menarik perhatian pelanggan melalui kepelbagaian menu asli jalanan dari Thailand seperti boat noodle, somtam, dan barbeku makanan laut. Beliau mula tertarik dengan perniagaan makanan jalanan Thai ketika dibawa melawat ke Thailand untuk melihat cara kerja dan perniagaan masyarakat di sana semasa menjadi pelajar pentadbiran perniagaan.

Bagi memenuhi konsep jalanannya, pemilik restoran mencari meja dan kerusi kayu seolah-olah pelanggan dapat menikmati hidangan dalam suasana hiruk-pikuk jalanan di tengah kota.

Hidangan boat noodle — makanan yang dihidangkan di dalam mangkuk seramik yang kecil hanyalah memenuhi dua suapan, disebabkan itu, kebiasaannya pelanggan memesan dalam jumlah yang banyak. Dengan harga RM1.90 setiap mangkuk, pelanggan pastinya tidak kisah mengeluarkan wang untuk menikmati hidangan negara jiran tersebut kerana harganya juga sangat murah.

alley4

Memberi dua pilihan kepada pelanggan sama ada memilih mi jernih bersama hirisan dan bebola ayam ataupun mi jernih bersama hirisan serta bebola daging, dengan empat penambah perasa seperti serbuk cili, sos bawang putih masam, sos ikan, dan gula pastinya membangkitkan selera masing-masing.

Selain boat noodle, hidangan yang wajib dicuba adalah salad betik Thai iaitu somtam yang dihidangkan bersama telur masin, kekacang, dan ketam. Bagi mereka yang gemarkan sesuatu yang pedas, somtam adalah pilihan terbaik!

BACA:  #DIVAKongsi 8 Port Best 'Food Hunting' Untuk Si Foodie Jika Ke Hatyai, Thailand!

alley2

Mereka juga menawarkan seksyen barbeku untuk pelanggan. Hidangan seperti daging bakar, sotong bakar dan kerang bakar akan disertakan dengan sos pedas yang berbeza tiap satu tetapi kedua-duanya masih mengekalkan rasa asli Thai.

alley3

Menu minuman juga mengetengahkan rasa sebenar Thailand dan anda perlu mencuba teh ais kerana mereka menggunakan teh dari sana yang berlainan rasanya, selain warnanya juga lebih pekat.

alley5

Alamat: AG-5, Jalan SS15/4D, Subang Jaya, Selangor

Waktu operasi: 12 tengah hari sehingga 11 malam

Untuk sebarang maklumat lanjut, anda boleh layari Dope Alley

Sumber: Utusan (Nur Syamimi Saidi)

Related Posts