Tiada berita yang lebih hangat lagi untuk kami update di Wanista.com selain kejayaan pasukan Jerman menjulang Piala Dunia 2014 pagi tadi setelah berjaya menumpaskan pasukan Argentina dengan jaringan 1-0 .
Gol dramatik yang menjulang kemenangan ini telah dijaringkan oleh pemain gantian, Mario Goetze pada minit ke 113 semasa masa tambahan sekaligus mencatatkan sejarah kerana menjadi pasukan Eropah pertama menjulang piala tersebut di Amerika Selatan. Ini merupakan kemenangan kali keempat pasukan Jerman dalam menjuarai Piala Dunia.
Walaubagaimanapun, pemain dari pasukan lawan , Lionel Messi masih dinobatkan sebagai pemain terbaik di Piala Dunia 2014 langsung membuktikan tentangan yang dihadapi Jerman bukan calang-calang kerana pasukan Argentina dilaporkan dibarisi para pemain hebat.
Pasukan ini juga telah melakarkan rekod tersendiri apabila memalukan pasukan tuan rumah, Brazil pada perlawanan separuh akhir dengan mata 7-1 pada 8 Julai tempoh hari. Keputusan ini juga secara automatik meletakkan pasukan Argentina sebagai naib juara dan Belanda di tempat ketiga.
Terdahulu, pasukan Sepanyol telah menjuarai Piala Dunia 2010 manakala Itali pula terlebih dahulu menjulang piala ini pada tahun 2006. Piala Dunia FIFA 2014 telah pun melabuhkan tirainya, kita tunggu pula Piala Dunia akan datang pada 2018 nanti.
Sumber : ESPN, BBC, Mirror.co.uk