Selepas mendengar keterangan daripada Azizul Raheem Awalludin, kini tiba giliran ibu kepada empat anak-anak yang didakwa didera di Sweeden , Shalwati Nurshal pula memberi keterangan. Shalwati bagaimanapun mengaku di mahkamah bahawa dia, pada suatu ketika telah memukul anak sulungnya, Ammar yang mengamuk seperti tidak sedarkan diri.
Shalwati Nurshal menjelaskan pada hari dia memukul Ammar, Ammar berada dalam ‘angin tidak baik’ selepas bergaduh dengan kakaknya, Aishah dan dia telah bertindak menyebelahi Aishah
Dia menceritakan kejadian itu selepas pendakwa raya Anna Arnell bertanya tentang Shalwati yang telah memukul Ammar kerana menonton Youtube daripada melakukan kerja rumah bahasa Perancisnya.
Ah, kejadian inilah yang yang membawa kita ke sini,” kata Shalwati, sambil menambah “peristiwa itu yang menyebabkan kami ditahan di dalam sel.”
“Ammar telah bergaduh dengan kakaknya, jadi saya memberitahu dia supaya mengambil wuduk (air sembahyang) kerana orang Islam percaya ia boleh membantu membuatkan seseorang itu bertenang,” katanya kepada mahkamah daerah Solna, Rabu.
Walau bagaimanapun, apabila Ammar pergi ke bilik air dia mula mengamuk dan menunjukkan kemarahan meluap-luap dengan menghentak-hentakkan dan membaling barang-barang.
“Dia histeria, jadi saya memukulnya di bahu dan memberitahunya supaya berhenti,” kata Shalwati.
Apabila ditanya sama ada pukulan itu telah menyakitkan Ammar, Shalwati berkata anak lelakinya itu itu seolah-olah lebih kepada ‘terkejut’ berbanding ‘cedera’.
“Selepas melihat video kawan-kawannya yang menerangkan apa yang mereka dengar dari Ammar, saya fikir Ammar telah mencari peluang untuk akhirnya memberitahu kawan-kawannya bahawa ibunya telah memukulnya,” kata Shalwati, seolah-olah kecewa.
Ammar disifatkan Shalwati sebagai seorang yang suka mencuri perhatian dan membesar-membesarkan cerita selain dianggap sebagai ‘raja drama’ dalam keluarganya. Selain itu, Ammar gemar melakukan sesuatu dengan cepat sehinggakan kadangkala melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya seperti ketika menyiapkan kerja sekolah dan sebagainya.
Walaubagaimanapun Shalwati menafikan semua tuduhan yang lain.
Insiden 1
Dalam cerita Ammar sebelum ini, dia memberitahu pihak penyiasat bahawa ibunya mendisiplinkan dia dengan tali pinggang di dalam bilik air.
Penerangan Shalwati
Shalwati memberitahu mahkamah hal sebenar bahawa aktiviti mencuci bilik air biasanya berlaku dengan gembira ‘merry and chatty’ di mana kesemua ahli keluarga akan bekerjasama melakukannya. Oleh yang demikian, tidak mungkin ada ruang untuk Shalwati menggunakan tali pinggang bagi mendisiplinkan Ammar dalam ruang yang sempit itu. Shalwati turut memberi contoh keterangan Ammar yang mungkin berimaginasi kesan menonton filem
Insiden 2
Ammar mendakwa dia dipukul kerana menumpahkan air teh panas ketika hendak menikmati hidangan.
Penerangan Shalwati
Shalwati bagaimanapun menafikan dengan mengatakan mereka sekeluarga tidak minum minuman panas pada masa tersebut dan menyatakan ia mungkin fakta yang dibesar-besarkan oleh anak lelaki sulungnya itu.
Insiden 3
Melibatkan Ammar apabila anak keduanya itu gemar melompat masuk ke dalam kolam renang yang berada di dalam kawasan rumah mereka sewaktu tinggal di Afrika Selatan.
Penerangan Shalwati
Perlakuan Ammar itu turut diikuti adik-adiknya yang lain menyebabkan Shalwati memberikan pukulan ringan di tangan Ammar bagi memberi pengajaran dan peringatan agar tidak melakukan aksi berbahaya seperti itu. Bagaimanapun, Shalwati menyatakan tidak memukul anak-anaknya yang lain kerana mereka masih kecil dan tidak memahami akibat daripada perbuatan itu.
Insiden 4
Ammar dikatakan dipukul sewaktu sedang menyiapkan kerja sekolah. Shalwati dikatakan telah ‘menarik telinga Ammar sehingga tangannya terketar-ketar‘ kerana kerja rumah Matematik
Penerangan Shalwati
Shalwati bagaimanapun menafikannya dan menerangkan bahawa dia sedang cuba membantu Ammar menyiapkan kerja sekolahnya itu setelah dipinta. Shalwati memberitahu itu merupakan kali pertama dia membantu Ammar melakukan kerja sekolah memandangkan sebelum ini tidak pernah diminta berbuat demikian selain banyak menumpukan kepada kerja sekolah Adam dan Arif yang masih kecil.
Shalwati menafikan ada memukul atau memulas telinga Ammar sebaliknya berusaha memberikan penerangan yang betul kepada Ammar termasuk dengan meminta bantuan suaminya, Azizul.’ Ia satu lagi perkara yang diada-adakan’ sebelum menjelaskan bahawa dia gembira dapat mengajar anaknya itu Matematik kerana Ammar jarang-jarang meminta bantuan.
Perbicaraan bersambung 10 Mac ini.