Nama yang tidak asing lagi dalam arena fesyen berprestij, Salvatore Ferragamo kini kembali untuk memeriahkan musim Luruh/Sejuk 2016 dengan barisan rekaan dari hujung rambut hingga hujung kaki berwarna-warni yang disisip dengan karakter tersendiri!
Salvatore Ferragamo bertujuan untuk menggambarkan serta menyalur rasa kegembiraan berganda melalui koleksinya yang baharu ini, berpaksikan penggunaan palet rona terang menyala, termasuklah monokrom.
Bukan itu sahaja, si pereka juga bijak bermain dengan reka bentuk eksentrik serta menggunakan corak menonjol ala retro bagi menambah sisi elegen dan mewah pada setiap barisan rekaan khas untuk musim Luruh/Sejuk 2016. Ini menunjukkan betapa Salvatore Ferragamo telah berjaya mencipta suatu kelaianan yang begitu diyakini.
Jelas di ingatan, koleksi musim Luruh/Sejuk 2016 oleh Salvatore Ferrangamo ini secara tidak langsung telah menitipkan ingatan nostalgik tatkala koleksinya pada tahun 1930an dahulu hangat menjadi buah mulut para peminat fesyen. Massimiliano Giornetti yang kini merupakan pengarah syarikat dan jenama Salvatore Ferragamo bijak menghimpunkan idea-idea rekaan classy yang terdiri daripada inspirasi konsep cantuman kain perca jelas memancarkan kehebatan pertukangan Itali.
Bentuk geometri seperti zigzag, kotak-kotak serta garisan menegak dan melintang banyak digunakan untuk koleksinya musim ini. Tidak kurang juga, fabrikasi jenis kashmir, kait dan satin turut dijadikan antara pilihan fabrik yang mewah sebagai penyeri kepada koleksi musim Luruh/Sejuk 2016.
Rekaan adalah terdiri daripada kot, dress midi, dress potongan pensil, aksesori bercorak, kasut yang dihiasi bulu-bulu halus, jubah cape, blaus, baju sejuk berstruktur, skirt berpanel dan celana potongan lurus. Kesemua gabungan reka bentuk fesyen yang dimuatkan dalam koleksi istimewa Salvatore Ferragamo ini cuba untuk memberi gaya wanita aristokratik yang licik lagi menawan. Sifat feminin dapat ditonjolkan melalui padanan aksesori bertekstur yang unik serta sofistikated.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ferragamo.com