Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menafikan menggunakan bahan kimia berbahaya dalam pembenihan awan seperti yang tersebar melalui laman sosial.
Menteri berkenaan Datuk Madius Tangau berkata bahan yang digunakan adalah natrium klorida iaitu garam masakan biasa.
“Garam ini selamat dan tidak mempunyai kesan sampingan terhadap kesihatan manusia atau alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya bahan dan kuantiti garam yang digunakan sama bagi setiap operasi pembenihan awan dan tiada tambahan bahan kimia lain digunakan seperti tersebar dalam laman sosial.
“Dalam sesuatu operasi pembenihan awan, 200 kilogram garam dilarutkan ke dalam 1,500 liter air dalam tangki berisi padu 1,800 liter sebelum disembur kepada awan,” katanya.
Mesej berbahasa Inggeris yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp tertera: “Friends from TUDM (RMAF) just called to alert that they are using strong chemical to make rain. This might affect the skin. So please stay away from the rain these few days and if (one comes) in contact, rinse promptly.”
(“Rakan daripada TUDM baru menghubungi untuk memaklumkan mereka menggunakan bahan kimia yang kuat untuk menghasilkan hujan. Ia mungkin memberi kesan kepada kulit. Jadi, tolong elakkan hujan beberapa hari ini dan jika terkena, bilas dengan segera.”)