Satu khabar angin yang mengatakan minuman Red Bull haram telah tersebar luas di media sosial. Menurut satu posting di Facebook, ia mendakwa minuman pemberi tenaga itu mengandungi taurine yang diperbuat daripada ‘asid haiwan’ dan badan haiwan yang tidak disembelih mengikut syariat Islam.
Posting itu turut meminta pengguna membuat kajian mereka sendiri mengenai kandungan minuman berkenaan.
“Red Bull mengandungi taurine (asid haiwan) dan taurine, sekiranya anda tahu apa itu, anda tidak akan menyentuh Red Bull, jadi buatlah kajian sendiri supaya anda tahu ia halal atau haram,” menurut posting dalam Facebook itu.
Posting berkenaan menerima pelbagai reaksi dan komen daripada orang ramai. Ada yang bertanyakan kesahihan dan ada yang memberi respons dengan fakta yang ditemui berkenaan taurine dalam minuman pemberi tenaga.
“Taurine penting untuk tubuh. Tanpanya otot rangka tidak akan membesar seperti yang sepatutnya, dan ia juga memberi kesan kepada pertumbuhan retina dan banyak lagi,” kata Naime Ahmed.
“Taurine juga serbuk yang digunakan untuk memberi tenaga ketika bersenam di gimnasium. Anda akan temui serbuk ini dalam kocak protein dan ianya halal. Terdapat banyak jenis taurine jadi jangan tertipu,” kata Emdad Rahman di ruangan komen.
Menurut laman rasmi Red Bull, taurine yang digunakan dikeluarkan secara sentetik.
“Ramai yang menganggap ia dari tubuh lembu kuat tetapi sebenarnya taurine dalam Red Bull dibuat secara sintetik untuk mencapai standard kualiti tertinggi,” kata laman rasmi Red Bull.
Di Malaysia, menurut laman itu lagi, kandungan minuman pemberi tenaga itu selamat, halal dan mengikut peraturan makanan tempatan.
Syarikat yang mengeluarkan Red Bull turut mendapat sijil halal Malaysia.
Sejak beberapa tahun, terdapat banyak khabar angin mengenai minuman pemberi tenaga Red Bull di media sosial. Daripada kandungannya mempunyai kencing haiwan hinggalah air mani lembu.
Sumber berita: The Rakyat Post