Lelaki paling kaya di Itali, Michele Ferrero, yang juga merupakan pemilik perusahaan coklat ‘Nutella’ telah meninggal dunia di usia 89 tahun semalam. Di bawah empayar syarikat coklatnya, mereka telah menghasilkan sekurang-kurangnya tiga jenama paling popular di dunia iaitu ‘Ferrero Rocher’, ‘Tic Tac’ dan ‘Nutella’.
Mendiang telah dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Monaco selepas berbulan-bulan menderita sakit tua. Syarikatnya kini akan diwarisi oleh anak lelaki keduanya, Giovanni. Ketika dia masih sihat, Michele Ferrero berulang alik setiap hari dari kediamannya di Monte Carlo ke ibu pejabat syarikatnya di Alba, Utara Itali menggunakan helikopter.
Dia tidak pernah mengizinkan orang luar menguasai syarikat yang ditubuhkan oleh bapanya pada tahun 1946 itu. Produk yang dihasilkan olehnya terjual di 53 buah negara.
Ferrero tersenarai sebagai manusia yang ke-30 terkaya di dunia dengan nilai harta dan tunai sebanyak AS$23.4 bilion. Jualan tahunan syarikat Ferrero berjumlah sekitar £6 bilion.
mStar Online