Laporan laman web Pages Halal menyebut, jualan al-Quran dan buku mengenaik agama Islam meningkat secara mendadak sejak insiden serangan berdarah kumpulan pengganas tempatan di pejabat akhbar mingguan satira biadap Perancis, Charlie Hebdo di sini pada 7 Januari lalu.
Naskhah al-Quran dalam terjemahan bahasa Perancis paling ketara menunjukkan peningkatan apabila disenaraikan antara 100 jualan terbaik dalam laman web perniagaan talian, Amazon sepanjang tempoh 26 hari lalu.
Portal berita Islam Pos yang memetik laman web Perancis itu turut menyiarkan komen Francois Maillot, pengurus besar syarikat rangkaian buku Perancis, La Procure, mengenai trend pembelian buku sejak serangan pada awal bulan lalu. Kata beliau, ramai penduduk tempatan mula mencari maklumat tentang Islam dan membeli naskhah terjemahan al-Quran.
“Rakyat Perancis sibuk mencari terjemahan al-Quran yang dicetak oleh penerbit terkenal seperti Denise Masson, Jacques Berque dan Malek Chebel, selain buku-buku berkenaan ajaran agama Islam turut mendapat sambutan hangat pembeli. Ini termasuk buku mengenai sejarah ringkas Islam, Breve histoire de l’islam a l’usage de tous yang dikarang oleh Antoine Sfeir,” kata Maillot yang mendedahkan bahawa buku berkenaan sistem keluarga Islam turut dicari ramai pelanggan.
“Saya menyarankan kepada penduduk Perancis yang berminat tentang Islam agar turut membaca buku A maladie de l’islam yang mengisahkan tentang penyakit Islam, ditulis oleh tokoh agama, Abdelwaheb Meddeb,” jelas Maillot.
Dianggarkan terdapat lebih empat juta Muslim di Perancis dengan hampir 200,000 orang memeluk Islam setiap tahun di negara Eropah itu selain kira-kira 2,000 buah masjid atau surau untuk kemudahan ibadat di seluruh Perancis.
Mynewshub & Agensi