Guru berusia 23 tahun yang disamun di rumahnya berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa rogol penyamun dengan menjerit meminta tolong jirannya. Guru berkenaan dipaksa lelaki dengan menggunakan parang tetapi wanita itu bertindak menjerit sekuat hati menyebabkan penyamun itu lari, tetapi sempat membawa bersama barang-barang yang disamunnya.
Menurut Ketua Polis Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee, kejadian berlaku pada jam 4 petang semalam, ketika guru itu berada di rumah bersama ibunya di Permyjaya, Miri, apabila seorang lelaki bersenjatakan parang menceroboh masuk.
Lelaki itu mengarahkan dua beranak itu menyerahkan wang, barang kemas dan telefon bimbit dalam anggaran RM5,500. Difahamkan, lelaki yang sama sebelum itu cuba merogol seorang pelajar perempuan tingkatan dua pada sebelah paginya, tetapi gagal. Pelajar berkenaan juga tinggal di kawasan Permyjaya dan suspek menggunakan parang untuk mengancam mangsa, bertindak agresif dengan menumbuk, menampar dan mencederakan pelajar itu.
Kini, polis memburu seorang lelaki Iban berusia dalam lingkungan 20-an dan alamat terakhirnya juga di Permyajaya.
Sinar Harian