Menurut laporan Sinar Harian, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan menjelaskan dua produk kecantikan terbabit Dermaceutic Spot Cream dan Dermaceutic Spot Peel Cream tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.
Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan dua produk kosmetik yang telah diuji dan dikesan mengandungi racun berjadual, hydroquinone dan tretinoin – yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.
Difahamkan, produk itu mengandungi hydroquinone dan atau tretinoin yang merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan. Kebiasaannya, hydroquinone digunakan untuk merawat kulit yang mengalami masalah hiperpigmentasi manakala tretinoin pula digunakan untuk mengurangkan kesan inflamasi untuk merawat masalah jerawat.
Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata manakala produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.
Malah, penggunaan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini malah kulit menjadi hipersensitif. Kesan penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Manakala penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.