Kulit adalah organ terbesar pada badan kita. Walaupun tinggal di negara bercuaca panas dan lembap, kebanyakan daripada wanita tetap menghadapi masalah kulit kering.
Jika anda mempunyai kulit muka berminyak atau jenis kombinasi, cuba teliti pula bahagian badan yang lain seperti bahagian betis, siku dan lutut.
Antara tanda anda mempunyai masalah kulit kering adalah :
- Rasa cekang pada kulit terutama selepas mandi
- Gatal-gatal (ekzema)
- Permukaaan kulit yang kasar dan kemerahan
- Permukaan kulit yang nampak seperti bersisik
Adakah anda tergolong dalam individu yang mempunyai masalah kulit kering ? Cuba tips-tips di bawah ini:
Pemakanan/dalaman
1. Elakkan kafein, merokok dan alkohol. Bahan-bahan ini bertindak secara diuretik dalam mengeringkan kulit anda.
- Foto – Cleveland Clinic
2. Minum banyak air. Ini langkah penting dalam memastikan kulit anda sentiasa berada dalam keadaan terhidrat. Sebaiknya, minum 8 gelas air putih sehari. Lebih aktif gaya hidup anda, lebih banyak kuantiti air yang diperlukan.
Semasa mandi
1. Kurangkan mandi air panas. Kulit kita mengandungi protein dan lemak khusus yang melindungi dan “mengunci” kelembapan kulit. Mandi dengan air panas akan menipiskan perlindungan ini dan menyebabkan kulit menjadi kering.
2. Pilih sabun yang lembut pada kulit. Sabun juga mengandungi bahan kimia yang akan mengeringkan kulit. Secara peribadi, penulis sarankan penggunaan mandian Johnson Baby Milk Bath sebagai mandian harian. Buih sabun yang terlampau banyak juga akan mendorong kepada masalah kulit kering.
- Foto – Richerzel
3. Elakkan mandi terlalu lama. 5-10 minit sudah mencukupi.
4. Pengelupasan kulit anda 3 kali seminggu menggunakan skrub muka dan badan. Proses ini membantu proses menanggalkan kulit mati. Jika kulit anda jenis terlalau kering, pilih skrub lembut yang diformulasikan untuk kegunaan harian. Proses ini juga akan memudahkan proses penyerapan lembapan.
Selepas mandi
1. Keringkan kulit anda dengan tuala secara memedap bukannya menggosok.
2. Sapu pelembap dan losyen sejurus selepas mandi. Amalan ini penting untuk menggantikan kelembapan kulit yang hilang selepas kamu mandi.
- Foto – Aromantic
3. Penggunaan minyak dan krim untuk tujuan pelembapan adalah lebih efektif daripada losyen. Anda boleh memilih untuk menggunakan minyak zaitun atau minyak jojoba memang ternyata efektif untuk merawat kulit kering. Anda juga boleh cuba mengggunakan body butter kerana pelembap jenis ini lebih berat berbanding losyen.
4. Guna mask untuk kulit kering. Amalkan juga penggunaan krim malam yang diformulasikan untuk penghidratan dan jangan lupa krim siang juga. Walaupun cuaca panas, tidak bermakna anda tidak perlu menyapu pelembap sebelum keluar rumah.
On the go
1. Bawalah losyen dalam botol yang sedang dibawa ke dalam beg tangan dan tinggalkan satu di atas meja pejabat. Jadi setiap kali kulit berasa kering, rajin-rajinlah untuk menyapu losyen.
- Foto – Well+Good
2. Bibir juga antara bahagian kulit yang kerap menghadapi kekeringan. Amalkan sapuan lip balm. Seperkara lagi, jangan jilat bibir anda kerana tabiat seperti ini akan membuatkan masalah bibir kering menjadi lebih teruk.
Semoga tips di atas memberi manfaat kepada anda. Selamat Beramal!