1 Mei 2014, negara Brunei yang mempunyai rakyat beragama Islam seramai 70 % daripada jumlah penduduknya telah pun melaksanakan hukum hudud. Perkara tersebut telah pun diumumkan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam majlis Deklarasi Perintah Kanun Keseksaan Jenayah Syariah 2013 Fasa Satu di Pusat Konvensyen Antarabangsa.
Hukum hudud ertinya hukuman yang telah ditetapkan ALLAH dalam al-Quran dan hadis. Manusia dilarang mengubah, menokok atau mengurangkannya. Hukum hudud terdiri daripada pelbagai jenis kesalahan. Dalam perbahasan ulama, hudud dikatakan mempunyai enam atau tujuh kesalahan. Antaranya zina, qazaf, minum arak, merompak dan murtad. Kesalahan-kesalah yang disebutkan itu bukan sahaja telah termaktub di dalam al-Quran, malah hukumannya juga telah ditetapkan ALLAH. Sebagai contoh, sesiapa yang mencuri, baik lelaki atau perempuan, hukumnya ialah potong tangan.
Lain pula yang berlaku di Malaysia, menurut Penasihat DAP, Lim Kit Siang, beliau membayangkan kemungkinan Pakatan Rakyat yang dibarisi oleh parti DAP, PAS dan PKR akan berpecah dan membawa haluan masing-masing jika PAS berdegil mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Padanya DAP tetap dengan pendirian untuk tolak perlaksanaan Hudud yang dicadangkan oleh PAS.
Isu perpecahan ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika ia berlaku, Pakatan Rakyat akan dianggap gagal dalam perjuangan menentang Barisan Nasional. Beliau berkata, desakan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam Pakatan Rakyat berikutan ketidaksefahaman berhubung pelaksanaan hudud tidak seharusnya dipandang ringan kerana isu ini semakin hangat dalam beberapa minggu sahaja.
Malah, beliau juga mengingatkan kepada PAS bahawa sokongan yang diperolehi oleh PAS pada pilihanraya umum yang lalu bukanlah sebab PAS mahu melaksanakan hudud tetapi hanya kerana mahu menentang kerajaan Barisan Nasional.
Bukan itu sahaja, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menyokong kenyataan Lim Kit Siang dengan merasakan perbuatan PAS itu juga secara tidak langsung memberi peluang kepada parti lawan untuk memecah belahkan kekuatan pakatan pembangkang.
“Jika PAS terus bekerjasama dengan UMNO untuk melaksanakan hudud, nampaknya parti itu memang cukup mudah untuk tertipu dan lebih teruk mengkhianati pengundi bukan Islam.
“PAS juga melakukan percanggahan kerana terus berada dalam pakatan tetapi pada masa sama menjalin kerjasama dengan UMNO melaksanakan hudud,” tegasnya.
Walaupun mendapat tentangan hebat, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri akan membawa satu rang undang-undang persendirian ke Parlimen bagi membolehkan Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan dilaksanakan di negeri itu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat untuk membolehkan hudud tetap dilaksanakan di Kelantan.