Selebriti termasuk pengasas kumpulan Virgin, Richard Branson telah berikrar untuk memboikot rangkaian hotel milik Sultan Brunei selepas beliau mengumumkan pelaksanaan hukum hudud di negaranya.
Melalui akaun Twitternya, Richard Branson berkata bahawa pekerja Virgin tidak akan tinggal di rangkaian hotel mewah Dorchester , termasuk Dorchester di London dan Hotel Beverly Hills di Los Angeles.
Selebriti lain yang turut sama menyeru masyarakat untuk turut sama memboikot melalui akaun media sosial mereka adalah pelawak Stephen Fry, hos TV Sharon Osbourne dan pelawak Ellen DeGeneres.
The Beverly Hills Hotel, bersama-sama dengan Hotel Bel-Air di Los Angeles, adalah sebahagian daripada rangkaian hotel Dorchester, yang dimiliki oleh Sultan Hassanal Bolkiah menerusi Agensi Pelaburan Brunei.
Antara bentuk hukuman berdasarkan syariah yang dijalankan di Brunei mulai Khamis lepas adalah, hukuman penjara untuk bagi kesalahan seperti tidak melaksanakan solat Jumaat, kehamilan di luar nikah, menyebarkan agama lain dan tingkah laku tidak senonoh yang lain.
Selain itu hukuman sebatan, pemotongan anggota badan seperti tangan dan rejam untuk kesalahan seperti mencuri, zina dan liwat akan diperkenalkan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang.
Jabatan Hal Ehwal Minoriti dari Independent School Alliance antara yang telah mengubah lokasi majlis mereka daripada Hotel Beverly Hills ke hotel lain. Begitu juga dengan Feminist Majority Foundation . Satu kumpulan kecil juga telah membuat bantahan di hadapan hotel tersebut pada 26 April yang lalu.
Sultan Brunei sewaktu mengumumkan pelaksanaan hukum syariah tersebut 1 Mei lalu berkata Brunei tidak mengharapkan negara lain bersetuju atau menerima pelaksanaan hukum hudud, namun memadai dengan menghormati keputusan negara ini sebagaimana Brunei menghormati pihak luar.