Sebelum ini semua sedia maklum Mizz Nina memberitahu dia tidak mahu menyanyi di hadapan penonton lelaki, keputusan itu tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak, sebaliknya atas kehendak sendiri. Tetapi kini Mizz Nina memberitahu dia nekad untuk berhenti daripada melibatkan diri dalam bidang nyanyian.
Mizz Nina berkata dia berbuat demikian kerana ingin menjadi seorang wanita Islam yang lebih baik dan langsung tidang menyesal dengan keputusan tersebut.
“Saya buat keputusan ini bukan kerana mengikut kesesuaian imej semata-mata tetapi ia lebih melibatkan tentang kepercayaan saya terhadap Islam. Alhamdulillah, tidak berat sebenarnya membuat keputusan ini. Lagipun, dalam dunia seni, banyak lagi perkara yang boleh saya lakukan sebagai contoh membaca puisi atau melibatkan diri dalam pengacaraan,” katanya.
Mizz Nina juga telah membatalkan hasratnya untuk melancarkan album muzik pop terbaharunya dan bersyukur kerana langsung tidak berasa menyesal dengan keputusan yang dilakukan itu.
Bukan itu sahaja, perkembangan lain Mizz Nina, dia akan menghentikan pengeluaran pakaian di bawah jenama miliknya iaitu Mizz Demeanor dan hanya akan fokus kepada jenama pakaian muslimah yang baharu ditubuhkan iaitu Madeena. Lagipun menerusi Madeena, dia dapat mengembangkan label ini dengan pengeluaran pelbagai produk halal.