Pernah tak kamu rasa sakit kepala yang melampau, sampaikan jadi migrain? Tak boleh buat main kalau sakit kepala menyerang, memang hilang mood dan tertangguh kerja.
Kali ini Wanista nak kongsikan dengan kamu satu petua orang dulu-dulu hilangkan sakit kepala. Guna bahan di dapur sahaja iaitu air rendaman asam keping. Selain hilang sakit kepala, hilang jugalah berat badan kamu.
Jom baca perkongsian di bawah!
Petua Air Asam Keping
Menerusi perkongsian yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook, Sahiza Mohd mendedahkan setelah minum air rendaman asam keping selama 2 minggu, sakit kepalanya hilang dengan serta merta.
“Patutlah orang dulu-dulu selalu amal benda ini sebab bagus untuk kerja di bawah matahari tak rasa panas kepala. Yang perut buncit akan jadi kempis. Badan pun rasa segar saja.”
Tambahnya bukan sahaja masalah sakit kepala dapat diselesaikan, malah berat badannya juga turun dengan mendadak.
Untuk menyediakan air rendaman asam keping, kamu hanya perlu rendamkan setengah asam keping bersama air panas semalam. Minum air rendaman tersebut selepas bangun tidur atau sebelum bersarapan.
Kebaikan Asam Keping Dari Segi Kesihatan
Untuk pengetahuan kamu, asam keping ini berasal daripada buah asam gelugur yang telah dikeringkan. Selain berkesan menghilangkan sakit kepala dan menurunkan berat badan, ini antara kebaikan asam keping untuk kesihatan;
Anti Kanser
Asam keping mengandungi sebatian atroviridison B yang berkesan dalam melawan sel kanser seperti kanser payudara, prostat dan paru-paru. Sebatian ini berperanan dalam proses apaptosis iaitu mematikan sel kanser daripada merebak dengan cepat.
Kawal Tahap Kolestrol
Potassium hydroxycitrate yang terdapat dalam asam keping mampu mengawal tahap kolestrol dalam badan. Menerusi kajian yang dibuat, ekstrak asam keping dapat mengurangkan LDL-kolestrol (kolestrol jahat) dan meningkatkan HDL-kolestrol (kolestrol baik).
Malah pembentukan lemak dalam saluran aorta juga dapat dikurangkan. Esktrak asam keping ini berkecenderung dalam mengurangkan tekanan oksidatif yang boleh menyebabkan penyakit atherosklerosis.
Anti Mikroorganisma & Anti Bakteria
Dipetik daripada Health Benefits Times, ekstrak asam keping boleh melawan mikroorganisma dan membunuh bakteria seperti patogen bakteria dan bakteria Gram-positif.
Asam keping yang bertindak sebagai anti bakteria ini sangat penting dalam menghalang mikroorganisma dan bakteria di bahagian sistem penghadaman yang mengakibatkan penyakit cirit-birit, kembung perut dan sebagainya.
Jika kamu sering sakit kepala atau mahu turunkan berat badan dengan lebih berkesan, jangan lupa amalkan petua di atas setiap hari okay? Selamat beramal!