Nampak sama tetapi ianya berbeza! Mesti kamu keliru untuk tahu sama ada wajah mengalami jerawat atau sebenarnya rosacea.
Untuk pengetahuan kamu, rosacea ini adalah gangguan kulit wajah yang memberi penampilan kulit kemerahan dan bintik sama seperti jerawat.
Apabila wajah kamu sebenarnya mengalami rosacea, ia akan membuatkan kulit wajah menjadi bumpy dan kemerah-merahan selain menjadikan wajah bengkak.
Boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, rosacea ini selalunya akan berlaku selama beberapa minggu hingga ke bulan. Jadi, apa yang patut kamu tahu tentang rosacea?
Adakah Rosacea Sejenis Jerawat?
Rosacea bukanlah sejenis jerawat walaupun ianya kelihatan sama. Ia adalah gangguan yang terjadi pada liang roma dan bukannya terjadi disebabkan oleh faktor yang sama dengan jerawat tetapi ia merupakan penyakit kulit.
Kalau jerawat, ia boleh terjadi di mana-mana bahagian sekalipun sama ada muka, leher atau badan. Manakala rosacea hanya terjadi pada bahagian tengah wajah iaitu merangkumi pipi, hidung, dagu dan dahi.
Situasi rosacea ini tidak akan terjadi pada mereka yang belum berumur 30 tahun dan kebiasaannya terjadi kepada wanita. Tetapi apabila ia terjadi kepada lelaki, rosacea ini boleh muncul dalam beberapa bentuk yang teruk.
Bentuk
Bermula sebagai kemerah-merahan pada bahagian tengah wajah, kemudian rosacea ini akan membentuk beberapa benjolan kecil dan merah sama seperti jerawat.
Dalam pada masa yang sama, kamu boleh nampak dengan jelas kapilari pada kulit yang membuatkan wajah menjadi lebih merah.
Sekiranya tidak dirawat, rosacea ini akan berkembang, merah dan membuatkan wajah kelihatan lebam serta bengkak. Jika pegang wajah, kamu boleh merasai kulit wajah menjadi kasar daripada kebiasaannya.
Penyebab
Walaupun tiada sebab yang kukuh boleh diketahui, rosacea ini boleh terjadi disebabkan oleh beberapa faktor seperti keturunan dan persekitaran.
Selain itu bagi mereka yang mempunyai rosacea ini, beberapa keadaan boleh menjadi penyebab dan trigger keadaan kulit seperti;
- Makanan pedas dan minuman panas
- Suhu yang melampau
- Cahaya matahari dan angin
- Emosi
- Senaman
- Ubat-ubatan yang melebarkan lagi saluran darah termasuklah beberapa ubat tekanan darah
- Produk kosmetik
Simptom
Jika kamu melihat wajah dan merasakan ianya lain daripada yang lain, kamu mungkin boleh pertimbangkan beberapa simptom ini:
Muka menjadi merah
Rosacea ini kebiasaannya menyebabkan muka menjadi kemerah-merahan yang berterusan di bahagian tengah wajah. Jika sekali pandang, ianya seperti terkena sunburn tetapi tidak. Selain itu, saluran darah pada bahagian hidung dan pipi kamu akan kelihatan membengkak dan sangat ketara.
Bengkak dan lebam merah
Individu yang mengalami rosacea ini akan mempunyai pimples yang menyerupai acne. Lebam-lebam yang terjadi pada bahagian wajah ini akan membuatkan muka menjadi bengkak. Kadangkala, benjolan ini mempunyai nanah serta keadaan rosacea ini boleh membuatkan kulit menjadi rasa panas yang melampau.
Perbezaan di antara pimples dan acne [Baca Sini]
Masalah mata
Apabila rosacea ini terjadi, kamu akan mengalami kekeringan pada bahagian mata, merengsakan, mata menjadi merah dan kelopak mata mula membengkak. Situasi ini dikenali sebagai ocular rosacea. Bagi sesetengah orang yang baru mengalami rosacea, simptom ini akan muncul terlebih dahulu berbanding dengan kulit.
Hidung menjadi besar
Setelah rosacea ini muncul, ia akan mula menebal pada bahagian kulit di hidung dan membuatkan hidung kelihatan bengkak dan membesar. Situasi ini dipanggil sebagai rhinophyma, di mana ia lebih kerap terjadi pada lelaki berbanding wanita.
Rawatan
Tiada ubat khas yang boleh merawat rosacea ini. Tetapi untuk merawatnya, kamu perlu mengelakkan beberapa penyebab yang boleh menjadi faktor kepada pencetus rosacea ini.
Penjagaan Kulit
Ambil beberapa langkah yang betul dan bersih dalam menjaga kulit. Kamu boleh gunakan pembersih wajah yang mempunyai tekstur yang ringan dan bebas daripada minyak untuk mengelakkan daripada kerengsaan. Kemudian, kamu juga boleh gunakan pelindung matahari bagi melindungi kulit daripada radikal bebas dan UVB.
Berjumpa Dengan Doktor
Rawatan untuk rosacea ini boleh merangkumi beberapa ubat antibiotik oral atau topikal serta beberapa ubat jerawat. Tetapi kamu tidak boleh buat self-diagnose tentang rosacea yang dialami, sebaliknya berjumpa dengan doktor untuk mengetahui tahap rosacea kamu sama ada teruk atau masih dalam peringkat awal.
Elakkan daripada membeli ubat-ubat tanpa preskripsi doktor untuk mengelakkan daripada rosacea kamu makin teruk.
Walaupun keadaan rosacea dan jerawat boleh dikatakan sama, kamu seelok-eloknya dapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor untuk penyembuhan yang lebih berkesan.