Bayi perempuan yang dilahirkan pada 5 Februari 2020, awal bulan ini akhirnya berjaya sembuh dari jangkitan coronavirus tanpa sebarang perubatan antiviral spesifik. Bayi yang dilahirkan di Hospital Rakyat Wuhan, wilayah Hubei ini memberi nafas lega kepada pekerja perubatan yang merawatnya.
Bayi perempuan ini antara pesakit termuda yang berjaya mengatasi penyakit maut ini di China. Pada awal kelahirannya, ibu bayi perempuan ini telah disahkan positif dijangkiti wabak coronavirus.
Kemudian selepas empat hari kelahiran bayi tersebut, pihak perubatan membawanya ke Hospital Kanak-Kanak Wuhan untuk di diagnos, dan keputusannya mengejutkan bahawa bayi tersebut juga dijangkiti virus yang sama seperti ibunya.
Meskipun bayi tersebut disahkan dijangkiti wabak berbahaya ini, tetapi bayi tersebut juga tidak menghidapi tanda-tanda jangkitan coronavirus yang serius seperti pneumonia, tidak mengalami kesukaran bernafas, demam mahupun batuk.
Sepanjang rawatan selama 16 hari ini, bayi yang kini berusia 17 hari disahkan bebas dari penyakit coronavirus dan ianya telah diuji sebanyak dua kali bagi membuktikan bahawa bayi kecil ini benar-benar telah bebas dari cengkaman wabak Covid-19 (Coronavirus) ini.
Kini bayi tersebut telah kembali bersatu dengan keluarganya pada 21 Februari 2020, minggu lepas. Walaubagaimanapun, nasib ibunya tidak sebaik anak perempuannya, ibunya kini dikuarantin di hospital dan masih menjalani rawatan.
Sejak penularan wabak Covid-19 pada awal tahun ini, lebih 80,000 kes telah dilaporkan di seluruh dunia dan lebih dari 2,600 orang telah meninggal dunia akibat serangan wabak ini.
Dan baru-baru ini beberapa di kawasan Timur Tengah seperti Kuwait, Bahrain, Afghanistan, Iraq dan Oman telah dilaporkan menunjukan gejala penularan wabak coronavirus.
Bagi yang merancang ingin melancong atau memiliki urusan perniagaan di negara yang dilaporkan penularan wabak Covid-19 ini, anda harus mengambil langkah pencegahan yang disarankan oleh pihak kementerian kesihatan.