Penulis nak tanya, pernah anda melihat fizikal seseorang seperti punggung jatuh atau jalan mengengkang, anda beranggapan negatif terhadapnya. Mungkin seperti si polan tiada dara lagi? Cepat mengaku… mesti bukan?
Sering kali menjadi tanda tanya kerana beberapa tanda pada fizikal wanita menyebabkan mereka dilabel sebagai sudah tiada dara, walhal sebalik.
Antara kebiasaan yang menyebabkan wanita tersebut dilabel tiada dara bila mana kedudukan punggungnya sudah jatuh dan juga cara jalan mengengkang, yang menyebabkan wanita dipandang serong hingga ada yang menjengilkan mata.
Baiklah, sebenarnya adakah tanda tersebut benar-benar satu fakta atau sekadar mitos yang kita percaya sejak di awal usia muda lagi. Mindset sudah ditanamkan dengan pemikiran yang kita sendiri tidak tahu benar atau mitos?
Pakar Kata…
Menurut Pakar Pelatih Bedah di Bahagian Surgikal dan Trauma, Imperial College Healthcare NHS Trust, Dr Amalina Che Bakri mengatakan bahawa bentuk fizikal seseorang tidak boleh menentukan sama ada individu tersebut masih mempunyai dara atau tidak.
“Sama ada punggung jatuh, jalan mengengkang atau apa sahaja bentuk fizikalnya bagi mengatakan individu tidak lagi dara adalah satu teori yang mengarut,” jelasnya.
Faktor fizikal tidak boleh dijadikan sebagai pengukur mengenai keperawanan seseorang wanita kerana ia tidak membuktikan ketepatan yang sebenar.
Menurutnya lagi pecah dara sebelum bernikah tidak bermaksud individu pernah melakukan hubungan seks. Boleh jadi selaput dara terjejas bila wanita melakukan aktiviti lasak seperti berlari, bersenam, melakukan regangan, berbasikal, mendaki atau memanjat.
Nak tahu lebih mendalam tentang selaput dara, baca – Fakta Tentang Selaput Dara Yang Korang Kena Tahu!
Ingat jika kita nampak pelik dekat seseorang, jangan main serkap jarang… takut jatuh fitnah. Kalau tak tahu, jangan malu nak bertanya! Tapi lagi bagus, jangan nak menyibuk..