Setelah seharian memasak menyediakan juadah terutamanya ketika musim perayaan atau mengadakan rumah terbuka, pasti dapur anda sudah bertukar menjadi medan peperangan. Lintang-pukang sekali periuk belanga, perkakas dapur, bahan masakan dan didalam sink pula tidak usah cakaplah memang penuh benda yang belum dicuci.
Bukan sahaja mata yang sakit memandang, hidung juga terseksa hasil dari campuran bauan menumis, rebusan, memanggang dan macam-macam lagilah!
Ada orang sampai dua tiga hari nak usaha untuk hilangkan bau dapur, malah ada juga yang berhabis duit dengan membeli bermacam jenis produk pewangi rumah. Apa kata setelah selesai memasak, anda cuba buang bauan tidak menyenang dengan membuat sendiri a.k.a percuma sahaja…
#1 Hilangkan bau dapur dengan….
Sediakan beberapa biji oren sebagai pencuci mulut dan kulitnya pula sebagai penyerap bauan kurang enak. Rebus kulit oren dan kulit kayu manis bersama dalam periuk air panas. Biarkan selamat beberapa minit sehingga mendidih, tutup api dan wap air dari rebusan tersebut akan merembes bauan segar.
Selain itu, anda boleh gunakan dengan roti bakar. Bakar roti seperti mana anda ingin nikmatinya untuk sarapan dan biar ia selama beberapa minit. Jangan bakar sehingga hangus pula!
#2 Peti ais kepam dan berbau…
Penulis pantang kalau peti berbau terutamanya bau hapak! Dah boleh rasa tak terkira banyaknya bakteria membiak, nak simpan makanan pun tak yakin.
Jom guna serbuk penaik soda (baking soda), biji kopi atau arang untuk menyah bau tersebut. Letakkan sahaja ia didalam peti ais untuk beberapa hari.
#3 Basmi bau hanyir guna…
Bau hanyir dari ikan, ayam atau bahan mentah lain memang sangat sukar hilangkan. Pakailah sabun berharga puluhan ringgit tapi celahan kuku dan jari anda pasti melekat lagi baunya.
Jika peti ais berbau hanyir, rendam hirisan lemon didalam air panas kemudian letakkan dalam peti ais. Pastikan anda telah membawa keluar semua makanan. Biar air lemon beberapa minit, setelah itu bau peti ais lebih segar dan permukaan kotor peti juga senang dibersihkan.
Begitu juga jika bau hanyir melekat pada tangan, cuci tangan dengan lemon atau anda boleh gantikan dengan gula. Campurkan sabun tangan anda dengan gula, cuci tangan seperti biasa.
Diharapkan perkongsian dapat memberi lebih keselesaan secara mudah untuk anda. Selamat mencuba!