Tular semalam Datuk Lee Chong Wei apabila namanya terpalit dengan video kontroversi memperlihatkan beberapa pekerja sebuah restoran makanan India iaitu Raj’s Banana Leaf mencuci pinggan mangkuk menggunakan air lopak di tepi jalan sekitar belakang restoran.
Tonton Video Pekerja Restoran Cuci Pinggan Mangkuk Guna Air Lopak
Namun begitu, laporan terkini Malay Mail ada menyatakan bahawa jaguh badminton pujaan ramai itu bukanlah lagi salah seorang Pengarah restoran tersebut seperti mana laporan-laporan yang dikeluarkan beberapa media petang semalam. Umumnya, Datuk Lee Chong Wei telah tampil meletakkan jawatan sebaik sebelum video tersebut viral, jelas pihak restoran kepada malam tadi.
Raj’s Banana Leaf menjelaskan, semua makluman yang dimuat naik di kebanyakan platform media sosial semalam dengan menyatakan Datuk Lee Chong Wei sebagai salah seorang Pengarah untuk syarikat restoran adalah “tidak sahih dan salah”.
“Individu terbabit tiada kaitan dengan pemegang saham syarikat atau restoran kami,” katanya tanpa menyatakan siapakah individu itu.
Bagaimanapun, pihaknya mengakui Datuk Lee Chong Wei pernah menjadi pengarah syarikat berkenaan namun meletak jawatan sebelum kejadian itu dan beliau tidak terlibat dalam apa jua operasi perniagaan di restoran terbabit.
Dalam masa yang sama pada petang semalam, Raj’s Banana Leaf menerusi akaun Facebook telah memuat naik status permohonan maaf berikutan insiden tersebut bahkan sempat memberitahu yang perkara itu telah dilakukan oleh para pekerja baru kerana menurut mereka kejadian seumpamanya tidak pernah berlaku sebelum ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Timbalan Pengarah Kesihatan dan Alam Sekitar, Chandrakant Patel, mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan Raj’s Banana Leaf di Bangsar ditutup sehingga diberitahu kelak kerana pelanggaran tata kebersihan yang telah ditetapkan.