Nampaknya kemahsyuran jenama Swarovski telah berjaya memonopoli jiwa dan hati majoriti kaum wanita di luar sana tu. Bahkan, ada yang lebih mengagungkan barang kemas kristal itu berbanding barang kemas yang diperbuat daripada emas asli. Tapi kenapa agaknya ia mendapat sambutan yang meluas daripada masyarakat dunia?
Seperti penulis sendiri, sudah sekian lama memang penulis lebih gemar memakai aksesori yang eksentrik reka bentuknya, tak kisah jika harganya murah sekalipun asal nampak berkelas. Lebih mudah digayakan bahkan selamat daripada serangan jenaya juga. Pendek kata, aksesori “biasa-biasa” ini lebih versatile dan sesuai dipakai sehari-hari.
Apabila Swarovski mula mendapat perhatian umum, penulis mula terpikat dengan kilauan permatanya yang membuatkan penulis berasa ingin tahu lebih banyak tentang jenama yang mengetengahkan Swan atau angsa sebagai logonya itu.
FAKTA SEJARAH TENTANG SWAROVSKI
#1 Swarovski Sudah Berusia 123 Ratus Tahun
Syarikat gergasi Swarovski sudah bertapak dalam bidang kristal dan penghasilan barang kemas sejak 1895 di Austria, Eropah oleh seorang jejaka bernama Daniel Swarovski bersama sahabat karibnya sebelum berkahwin dan mempunyai tiga orang cahaya mata -hasil perkahwinan dengan adik perempuan sahabat karibnya itu bernama Marie Weis.
#2 Mahu Menghasilkan Kristal Yang Sempurna
Daniel mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan kristal tersebut dengan mendaftarkan paten rekaannya untuk mendapatkan sebuah mesin bagi menghasilkan potongan permata kristal yang sempurna pada 1891.
#3 Bukan Swan Tetapi Bunga Edelweiss
Pada 1899, Swarovski menggunakan bunga Edelweiss sebagai logo rasminya untuk menjadi simbol kepada bumi Austria. Ia kekal sehinggalah tahun 1988 sebelum menukarnya kepada logo yang menampilkan seekor Swan.
#4 Buka Peluang Orang Biasa Pakai ‘Berlian’
Zaman dahulu, hanya golongan diraja dan elit yang mampu membeli serta memakai barang kemas berharga seperti berlian.
Sehubungan itu, Daniel yang telah sekian lama menyimpan hasrat untuk membuka peluang kepada golongan serdehana memiliki dan menggayakan aksesori cantik yang kilauannya mirip berlian tampil dengan kristal Swarovski.
#5 Kristal Swarovski Hanyalah Gelas Biasa
Tujuan sebenar Swarovski adalah untuk menjual dan memperdagangkan batu permata mampu milik yang mempunyai kilauan seperti berlian. Mereka kemudian mencipta batu permata berasaskan material gelas berkualiti -yang dipotong rapi agar dapat memantulkan kilauan seperti berlian asli.
#6 Tak Semua Orang Boleh Masuk Ke Bangunan HQ Swarovski
Sehingga kini, perniagaan Swarovski adalah milik persendirian keluarga. Ia sudah diwarisi secara turun -temurun selama lima generasi oleh cucu-cicitnya bagi mengekalkan kualiti dan rahsia penghasilan batu permatanya yang eksklusif.
Umumnya, tidak semua orang dibenarkan masuk ke bangunan induk Swarovski baik pelawat mahupun orang kenamaan. Semuanya dikawal ketat agar pesaing tidak dapat menghidu atau mencuri kredibiliti penghasilan kristal mereka.
#7 Swarovski Ada Taman Tema Sendiri
Dipanggil Swarovski Crystal World di Wattens, Austria. Taman tema unik ini dihiasi kristal dalam bentuk arca pelbagai bentuk serta seni bina eksentrik.
Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat sebuah muzium yang menghimpunkan kesemua inovasi eksklusif Swarovski termasuklah replika Taj Mahal, Piramid Giza, barang perhiasan mewah dan banyak lagi. Jika anda obses dengan Swarovski, anda wajib datang dan melancong ke sini!
Persekitaran Swarovski Crystal World ini juga permai sambil berlatarkan gunung Alps. Cantik sangat.
#8 Swarovski Monopoli Bidang Fesyen & Dekorasi
Pada 1966, Swarovski melancarkan koleksi dekorasi pertamanya berbentuk sebuah lampu chandelier bertatah kristal yang menghiasi mercu Metropolitan Opera, New York.
Manakala tahun 1993 pula, jenama itu mula memperkenalkan helaian mesh yang dihiasi kristal sebagai item fesyen paling hangat sebelum menganjurkan acara Swarovski Collective, sebuah acara pencarian bakat baharu yang bijak menghasilkan rekaan avant-garde menggunakan kristal Swarovski sekitar 1999.
Sehingga kini Swarovski telah membiayai hampir 150 orang pereka fesyen muda yang dipercayai mampu membawa kristal ke sebuah penjenamaan mahsyur dalam arena fesyen dunia.
#9 Terlibat Dalam Menjayakan Hiburan & Perfileman Popular
Sarung tangan berlian yang sering dipakai Michael Jackson sewaktu membuat persembahan, tiara berlian yang dipakai Audrey Hepburn dalam filem “Breakfast at Tiffany’s” dan…
Kasut permata delima yang dipakai watak Dorothy Gale dalam filem “The Wizzard of OZ”… semua itu sebenarnya diperbuat daripada kristal Swarovski!
Selain itu, dress berkilau yang pernah dipakai Marilyn Monroe pada malam sambutan ulang tahun Presiden John F. Kennedy serta dress jarang yang diggayakan Rihanna pada acara Fashion Award 2014, semua itu adalah busana yang bertatahkan kristal Swarovski.
#10 Swarovski VS Kristal Biasa
Batu pertama Swarovski memiliki potongan facet yang lebih nyata berbanding kristal biasa.
Potongan Swarovski juga mempunyai kadar kejernihan serta pantulan kilauan yang menyerupai berlian asli. Selain itu, bucu facet juga akan timbul dan tajam -tidak tumpul atau lari seperti facet pada kristal tiruan.
Untuk pengetahuan semua, Swarovski dahulunya dikenali sebagai “A Kosman, Daniel Swarovski & Co”.
Sekarang, semua orang dah tahu kan? Bahawa kristal Swarovski adalah sejenis berlian tiruan. ❤