Syarikat penerbangan tambang murah dari Vietnam, Vietjet baru-baru ini menerima kecaman hebat apabila krew kabin bertindak memakai bikini ketika mengalu-alukan pasukan bola sepak kebangsaan tempatan yang menaiki pesawat itu.
Pasukan bola sepak lelaki bawah 23 tahun yang mengalami kekalahan menentang Uzbekistan dalam kejohanan Asia, kembali dari China telah disambut penuh keraian di mana dua orang kakitangan Vietjet hanya memakai bikini.
Walaupun kecundang, pasukan bola sepak tetap diraikan dalam suasana yang meriah. Yang menjadi kecaman adalah aksi krew kabin itu sendiri tidak sesuai malah keterlaluan untuk pemain bola sepak yang masih muda.
Kerana dibidas hebat, pengasas dan ceo Vietjet, Nguyen Thi Phuong Thao mengeluarkan permohonan maaf di laman Facebooknya pada Ahad. Beliau menjelaskan bahawa segala yang berlaku bukanlah untuk publisiti syarikat, tetapi hal itu dilakukan oleh pasukan logistik yang bukan sebahagian daripada program syarikat.
https://www.youtube.com/watch?v=X1bOD4ywIGo
Rata-rata netizen marah dan banyak yang berikrar untuk memboikot syarikat penerbangan itu selepas beberapa koleksi foto pemain bola sepak yang kelihatan canggung apabila krew kabin melayan mereka tersebar di media sosial.
“Adakah anda mahu menukar nama Vietjet kepada ‘Vietjerk’ atau ‘Vietsex’?,” berang seorang pengguna Facebook.
“Cara Vietjet sangat murah dan menyinggung perasaan pasukan, peminat dan penumpang,” kata seorang lagi netizen.