Netflix, peneraju utama perkhidmatan hiburan internet melancarkan rancangan komedi tempatannya yang pertama dari Asia Tenggara dengan menampilkan pelawak terkenal di rantau ini, Harith Iskander.
Dalam rancangan komedi istimewa yang berjudul “I Told You So” ini, Harith Iskander yang turut dikenali sebagai “Godfather of Stand-up Comedy” akan mempersembahkan variasi lawak jenakanya yang tidak asing lagi di Asia Tenggara. “I Told You So” akan menyentuh pelbagai topik termasuk kekeluargaan, pengalaman janggal pasangan sedang bercinta, sosial dan kebudayaan yang sering dialami oleh masyarakat di Malaysia dan Singapura dalam masa satu jam.
“Saya merasa sangat gembira dan berbangga untuk menjadi pelawak pertama Malaysia yang menjadi sebahagian daripada penerbitan asli Netflix ini, dan membawa komedi tunggal Asia ke persada dunia,” kata Harith. “Kami memilih untuk bekerjasama dengan Netflix bukan sahaja kerana ia mempunyai jumlah penonton yang ramai di seluruh dunia, tetapi juga kerana keterbukaan mereka dalam menerima citarasa jenaka kami yang unik, yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan komedi massa yang biasa dilihat di kaca TV.”
Selain Harith Iskander, Netflix juga akan menampilkan persembahan pelawak Singapura, Fakkah Fuzz serta pelawak tunggal Malaysia, Kavin Jay ke pentas dunia pada awal 2018.
Ketiga-tiga rancangan komedi istimewa tersebut akan ditayangkan di Netflix di seluruh dunia pada tarikh berikut: Harith Iskander ‘I Told You So’ pada 19 Januari, Fakkah Fuzz ‘Almost Banned’ pada 26 Januari dan Kavin Jay ‘Everybody Calm Down!’ pada 2 Februari.