Berterima kasih lah kepada internet yang menghubungkan pelusuk Malaysia dan dunia tanpa sempadan. Penulis teruja dengan melihat perubahan komuniti kecantikan lebih lagi di negara kita. Ramai yang semakin berani kehadapan tentang solekan. Jika dahulu teknik mekap disorok-sorok, kini ia semakin ligat dikongsi. Bukan sahaja pada kaum wanita, malah kaum lelaki juga duduk sebagai guru mekap di media sosial.
Khidmat live atau langsung di sosial media kini banyak menarik perhatian guru mekap, beauty influencer atau MUA untuk mengambil peluang berkongsi tips, teknik dan cara mekap mereka. Namun ada sesetengah live dari mereka tidak bercirikan konsep yang sepatutnya. Iyalah, bila terlalu banyak ia jadi berlebih-lebihan, bila berlebihan jadi muak. Pada mulanya, penulis cukup teruja dengan live, setelah itu penulis dapat menangkap beberapa kelemahan dalam live membuatkan penulis kembali menutup butang notification live.
#1 Terlampau banyak cakap
Bayangkan setengah jam membebel mengenai aktiviti harian mereka sebelum mengambil berus solek. Berapa lama kami harus menunggu untuk anda mula menunjukkan hasil mekap? Itu belum lagi mereka yang berjenaka tak tentu hala tidak sesuai dengan ‘kelas mekap’. Daripada bercakap merapu, lebih baik anda berbicara tentang ilmu sebenar.
#2 Hanya semata-mata untuk promote barang
Kadang-kala penulis rasa tertipu dengan lintas langsung sesetengah MUA yang penuh dengan ‘iklan’ produk tiruan membahayakan pengguna. Penulis tidak kisah jika mereka ditaja oleh sesetengah jenama tapi pastikan kesahihan produk dan formulanya. Selain itu, sudah acap kali penulis lihat mereka lakukan live semata-mata untuk melunaskan permintaan client bagi mempromosikan produk.
#3 Tiada kepelbagaian
Iya memang dalam dunia banyak jenis look makeup yang boleh dipelajari tapi kalau live hanya untuk mekap agak membosankan. Banyak lagi boleh dikongsikan selain mekap iaitu cara prep muka, cara menanggalkan mekap, rutin membersihkan muka dan anda boleh juga bercakap soal kebaikan dan keburukan mekap. Apa salahnya…
#4 Kualiti video
Sedang meneliti bentuk kening yang dilukis, tiba-tiba paparan skrin menjadi gelap. Memang potong semangat betul kalau insiden ‘malang’ itu terjadi. Lagi lemah semangat bila talian internet tidak berapa baik jadi kualiti video sangat rendah, lebih-lebih lagi mereka yang belum upgrade telefon pintar. Gambar pecah, audio bising (bunyi kipas dan sebagainya) dan talian terputus-putus. Anda rasa?
#5 Banyak pilihan lain!
Selain live, banyak lagi platform pilihan lain untuk mempelajari mekap, contohnya di Youtube atau di Instagram yang video hanya mengambil 60 saat. Boleh diulang-ulang sampai puas hati lagi dan ada sesetengah dari Youtuber bagus dalam suntingan untuk kita dapat lihat teknik dan hasil lebih dekat.
Ini hanyalah pandangan penulis sahaja tentang konsep live, jika anda sememangnya gemar mengambil ilmu dengan cara tersebut terpulang. Seperti yang penulis katakan sebelum ini, terdapat banyak pilihan lain untuk belajar mekap selain live. Kepada mereka yang sentiasa praktis live, teruskan dan pastikan ia bermanfaat kepada penonton anda.
Tips ringkas penulis kepada mereka untuk buat live, sekurang-kurangya sediakan satu helai kertas yang tertulis matlamat dan sedikit skrip untuk video live anda. Beauty guru hebat Tati pun buat skrip sebelum rakam video tau, pengacara lintas langsung CJ Wow Shop pun buat skrip.
Salam sayang dan terima kasih atas usaha anda!