Tak semua orang mampu menonton filem bergenre seram. Filem-filem sejenis ini dicipta khas untuk mencungkil perasaan seram, jijik atau ketakutan daripada para penonton. Kebiasaannya, dalam plot filem seram, semangat-semangat jahat, kejadian ngeri, ataupun wataknya sendiri yang bersifat jahat, antara elemen biasa.
Sempena bulan hantu ‘Halloween’ ini, apa kata cabar adrenalin takut anda dengan menonton 8 filem seram seorang diri tanpa teman. Pilihan Wanista tidak berlandaskan tahap keseraman semata-mata mahupun kekerapan penampakan hantu di depan kamera. Penilaian dibuat berdasarkan keaslian dan keunikan jalan cerita serta persembahan para pelakon.
#1 Munafik (2016)
Filem ini mengisahkan mengenai Adam (Syamsul Yusof), seorang pengamal perubatan Islam yang tidak dapat menerima kematian isterinya. Selepas bertemu dengan Maria (Nabila Huda), peristiwa pelik mulai menghantui dirinya.
#2 A Tale of Two Sisters (2003)
Filem Korea Selatan yang disenaraikan dalam filem paling seram sepanjang zaman oleh Rolling Stone ini, bukan calang-calang. Setiap perjalanan kisah dengan mood suram dan sepi membangkitkan rasa takut kita yang menonton.
#3 Insidious (2011)
Selain plot cerita yang padat dengan permainan watak syaitan dan hantu, lakonan hebat Patrick Wilson, Rose Byrne dan Barbara Hershey menjadikan filem ini benar-benar hidup.
#4 Ju-On: The Grudge (2002)
Bila teringatkan si ibu Kayako dan anak lelaki Toshio memang meremang bulu roma, ditambah lagi dengan kesan bunyi suara Kayako dan Toshio.
#5 The Orphanage (2007)
Filem Sepanyol yang mendapat kritikan cemerlang kerana diarah dan dilakon dengan baik, bahkan filem ini tidak ada “babak seram dan menakutkan yang murah”.
#6 Nang Nak (1999)
Pelik kalau filem ini tidak tersenarai. Walaupun bergenre tragedi dan seram tapi filem ini sarat dengan elemen kasih sayang antara suami dan isteri. Korang confirm akan menangis kalau menonton filem hantu Thai ni!
#7 Wishing Stairs (2003)
Wishing Stairs merupakan debut sulung si manis Song Ji Hyo. Filem dari Korea Selatan ini mengetengahkan elemen asrama sekolah dan pelajar perempuan – sudah cukup membuatkan kita meremang bulu roma.
#8 Susuk (2008)
Kalau diikutkan Susuk secara dasarnya tidak seram. Ia lebih kepada pendedahan amalan syirik dan paparan mistik tentang susuk, itu yang mampu membuatkan penonton meremang apatah lagi isu tersebut dekat dengan masyarakat Melayu.
#9 Long Khong (2005)
Jijik, jelik, seram, geli, loya- semuanya ada dalam filem dari Thailand ini. Boleh dikategorikan antara filem seram terbaik Thailand sepanjang zaman.
Ada filem anda tersenarai di sini?