Sejak kecil lagi hidup penulis diselebungi oleh misteri. Tipu jer.
Dahulu sejak kecil lagi kita semua sering terbiasa mendengar kisah-kisah seram dari pengalaman orang lama tentang makhluk-makluk misteri yang kita tidak mahu bertemu. Sehinggakan kini masih ada lagi yang takut dan trauma bila mendengar atau menonton mana-mana filem seram bukan?
Kaum wanita sering dikaitkan dengan hantu kerana terdapat kepercayaan dalam ilmu hitam yang boleh memberi kuasa kecantikan. Tak kiralah nak nampak muda sentiasa atau menjadi tarikan kepada lelaki idaman. Semua itu boleh memakan diri dan mengubah diri menjadi sebahagian dari makhluk yang bukan hidup dalam realiti.
#1 Penanggal
Hantu penanggal bukan sahaja diceritakan di Malaysia, malah ia juga dikenali di Filipina, Indonesia dan Thailand. Asal terjadinya penanggal ialah wanita yang bermain janji dengan kuasa hitam untuk membuat dirinya cantik selamanya.
Kelibat penanggal sering dilihat seperti cahaya kelip-kelip dan muncul jika terdapat wanita bersalin. Sudah menjadi sumpahan untuk penanggal mencari makan dengan memakan darah wanita yang bersalin untuk mengekalkan jampi cantiknya.
Fizikal penanggal sendiri amat menjijikkan, ia berkepala manusia yang tanpa badan tapi membawa organ-organnya beterbangan mencari mangsa.
Selain untuk menjaga kecantikan, mereka yang sanggup menjadi penanggal hanya semata-mata untuk menjaga tanaman, haiwan peliharaan dan menjaga keselamatan dari musuh.
#2 Pelesit
Awet muda, sopan santun, menjadi kegilaan ramai lelaki dan manis dipandang itulah ciri-ciri wanita yang memiliki pelesit. Hantu pelesit juga dipercayai digunakan sebagai pelaris untuk perniagaan, mencuri duit dan juga memikat lelaki idaman.
Berbeza dengan penanggal, pelesit dijaga oleh tuannya (wanita) dan diboleh diwarisi oleh keluarga seperti saka. Cara menjaga pelesit ialah dengan diberi darah yang dititik dari hujung jari tuannya. Pelesit juga dikatakan harus diwarisi sebelum tuannya meninggal dunia, jika tidak ia akan menganggu ketenteraman orang lain.
Hantu pelesit tiada bentuk fizikal yang tetap, ia boleh menjelma dalam apa jua dan menghisap darah orang yang mengancam tuannya.
#3 Susuk
Susuk tidak dikaitkan dengan mana-mana jenis hantu tapi ia menyebabkan muncul kelibat roh yang tidak tenteram. Apabila si pemakai susuk mati ia tidak dapat mati secara sempurna, jasad ditanam tapi rohnya tidak diterima tuhan.
Pemakaian susuk untuk menjaga kecantikan, kekal awet muda dan bergantung apa yang diinginkan oleh si pemakai. Namun untuk memasukkan susuk bukan perkara mudah dan tidak semua tukang sihir mampu melakukannya, sama juga untuk mengeluarkannya semula. Ya, susuk boleh dikeluarkan tapi hanya dengan orang yang sama memasukkanya.
Tidak pasti apa sebenarnya itu susuk, ada yang mengatakan ia seperti jarum dimasukkan kedalam tubuh dan mempunyai pantang larang pelik seperti tidak boleh melintas dibawah ampaian baju.
Perlu ke kita percaya semua ini? Perlu..kerana iblis, syaitan juga ciptaan dari Ilahi. Apa yang kita harus lakukan ialah jauhi dari segala larangan-Nya dan paling penting apa jua yang berlaku berbaliklah kita pada Maha Pencipta.
Mahu jadi cantik sekalipun jangan sampai mengadai diri…