Buat kali kedua berturut-turut, Pulau Palawan di Filipina diiktiraf sebagai pulau terbaik di dunia oleh majalah Travel & Leisure. Malahan, pengiktirafan yang sama juga pernah diberi oleh majalah Conde Nast Traveler dan National Geographic Traveler.
Pengundi menggambarkan Palawan sebagai ‘destinasi impian setiap pencinta pantai’. Pulau tersebut pernah menjadi pilihan Hollywood untuk penggambaran, antaranya filem Bourne Legacy, The Beach dan filem James Bond The World Is Not Enough.
Penduduk tempatan merujuk kepulauan itu sebagai ‘sempadan terakhir’ kerana ia terletak di hujung selatan Filipina, cuma sedikit utara dari Sabah di Malaysia Timur. Keindahan Palawan yang eksotik dengan pasir putih, air jernih kehijauan dan sungai bawah tanah merupakan hasil daripada Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa yang mengalir di pantai baratnya, juga merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia Unesco.
Taman Negara Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa mempunyai sistem gua antara yang paling mengagumkan di dunia, dengan hutan lama, hidupan liar yang unik, dan kebuk yang luas penuh dengan stalaktit dan stalagmit. Para pelancong boleh menaiki bot untuk menjelajah sistem gua bawah tanah, manakalah peminat selam dan snorkel boleh menerokai Tapak Warisan Dunia Unesco kedua di situ: Taman Marin Negara Terumbu Tubbataha.
Palawan mempunyai sebuah lapangan terbang antarabangsa, yang menyambungkannya dengan Manila, ibu negara Filipina.