Juara kali kedua perlumbaan motosikal Moto3 Grand Prix (GP) Khairul Idham Pawi sekali lagi mengelak simbahan arak ketika menjulang piala di podium.
Usai berkumandang lagu Negaraku, Khairul segera meninggalkan podium walaupun kelihatan pesaing terdekatnya cuba mengejar dan menghalakan semburan arak berkenaan.
Khairul, 17, berjaya menjuarai perlumbaan motosikal GP Jerman hari ini selepas menewaskan pelumba Andrea Locatelli dari pasukan Leopard Racing dan Enea Bastianini dari pasukan Gresini yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Mesra disapa KIP, Khairul mengambil masa 47 minit 07.763 saat bagi menamatkan perlumbaan dalam keadaan litar basah walaupun bermula di petak ke-20 perlumbaan.
Pada April, anak kelahiran Kampung Gajah, Perak itu menjuarai perlumbaan MotoGP Argentina. Pada waktu itu peminat-peminat di Malaysia memuji sikapnya yang menolak percikan arak.
Kemenangan beliau, yang digelar “raja litar basah”, hari ini membolehkan Khairul berada di tempat ke-10 keseluruhan selepas mengumpulkan 54 mata.
Pelumba Afrika Selatan, Brad Binder, dari pasukan Red Bull KTM Ajo masih mendahului dengan 159 mata.
Ketika Khairul menjuarai Moto3 di Argentina, bapanya Pawi Omar menasihatinya agar tidak meraikan kemenangan mengikut budaya asing.
“Mengenai tradisi meraikan kejayaan membabitkan minuman arak, saya pesan kepadanya supaya cuba elakkan.
“Jika hendak meraikan kejayaan sekali pun, tunggu sehingga pulang ke Malaysia dengan cara mengadakan jamuan makan atau kenduri kesyukuran,” katanya kepada media.