Cincin perkahwinan adalah tanda ikatan janji dan cinta abadi anda kepada pasangan yang akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Oleh sebab itu, wanita sering menitik-beratkan pemilihan cincin mengikut cita rasa peribadi mereka.
Terdapat variasi pilihan rekaan cincin yang ada di pasaran, untuk mereka yang tidak gemar batu permata, mungkin ianya lebih mudah untuk mencari. Tetapi, bagaimana pula jika anda inginkan cincin perkahwinan yang bertatahkan permata? Agak sukar untuk mencari potongan berlian atau batu permata yang sempurna. Kepakaran dan ketukangan yang terperinci sahaja bisa menghasilkan potongan batu permata yang nampak kemas, cantik dan bersinar.
Ini Wanista kongsikan antara bentuk dan potongan batu permata yang boleh anda jadikan inspirasi bagi pemilihan cincin perkahwinan idaman anda.
#1 Princess
Princess adalah potongan empat segi sama yang biasa, cuma ia mempunyai potongan perincian yang tajam di setiap penjuru bucunya. Sesuai untuk mereka yang gemarkan gaya klasik minimalis.
#2 Heart
Tiada apa yang lebih menawan dari melihat batu permata yang berpotongan bentuk hati di atas cincin perkahwinan. Feminin!
#3 Brilliant Round
Pilihan batu permata yang tidak lapuk dek zaman. Ianya memiliki potongan batu permata bulat penuh. Pasti menonjol kala disarung ke jari manis!
#4 Cushion
Gaya antik ini mengetengahkan potongan batu permata yang mempunyai bucu melengkung, malah permukaan atas batu permata juga sengaja dibiarkan timbul sedikit seperti bantal kusyen untuk menyerlahkan lagi kilauan permata.
#5 Radiant
Mempunyai hampir 70 potongan pada permukannya, potongan radiant ini kelihatan sangat berkilau dan berseri, menggabungkan potongan bucu yang hampir sama dengan potongan jenis Emarald.
#6 Marquise
Sama seperti Oval, cuma ia mempunyai dua sisi bucu yang berbentuk seperti kekacang. Potongan batu permata jenis Marquise ini diinspirasi dari senyuman Marquise de Pompadour iaitu wanita yang merupakan ketua kepada semua perempuan simpanan raja Perancis, Louis XV.
#7 Emerald
Berbentuk segi empat tepat. Potongan Emerald juga dikenali sebagai potongan jenis tangga kerana potongan permatanya yang bergaris-garis menyerupai anak tangga.
#8 Oval
Rekaan bujur selari yang cukup sempurna, potongan Oval akan menimbulkan aura sensasi kepada tangan si pemakainya. Tampak manis!
#9 Potongan Asscher
Dicipta pada tahun 1902, potongan batu permata jenis Asscher ini diperkenalkan oleh adik-beradik Asscher di Holland, di mana, pada asalnya potongan ini digelar potongan bersegi Emerald kerana bentuk empat seginya serta belahan pada setiap sisi batu permata.
#10 Pear
Potongan permata berbentuk titisan air ini adalah gabungan antara potongan Oval dan Marquise. Bentuk batu permata yang ini akan bantu memberi ilusi jari yang lebih runcing dan panjang.