Hadiah pemenang lumba basikal kategori kanak-kanak murah sahaja, antara RM10 hingga RM30, kerana kementerian tidak mahu mengajar mereka bersukan demi wang, kata Khairy Jamaluddin.
“Jika dari peringkat kanak-kanak kita sudah biasakan mereka dengan hadiah wang tunai, saya risau mereka akan lupakan matlamat utama mereka berjuang dalam sukan,” kata menteri belia dan sukan.
Beliau mengulas sindiran dan kritikan ramai terhadap acara Junior Cycling Malaysia (JCM) Sabtu lalu susulan tersebarnya foto-foto pemenang kategori-kategori bawah 9 dan 11 yang menerima wang sejumlah itu.
Khairy juga berkata penganjur JCM memilih nilai hadiah sedemikian untuk kategori tersebut kerana minat dan pengalaman berlumba mereka yang paling penting “bukan kerana habuan wang”.
“Kami mahu mereka membesar dengan nilai dan sikap yang betul. Ya, wang memang penting dan jika mereka cemerlang dalam sukan, mereka akan mendapat wang kemudian hari tetapi janganlah rosakkan ketika mereka masih budak,” katanya dalam satu kenyataan.
Sessi penyampaian hadiah #pathofchampions pic.twitter.com/ZKlGYqE1Xy
— Junior Cycling M'sia (@JuniorCyclingMY) April 9, 2016
Program JCM, bawah Majlis Sukan Negara (MSN), dibentuk mengikut model Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan dan bertujuan mencungkil bakat yang akan digilap lagi oleh MSN.
Dalam pusingan pertama acara tersebut di Serdang, kira-kira 700 penunggang bersaing dalam lima kategori dalam usia antara lima hingga 19 tahun.
Dalam kenyataan berasingan di Facebook, JCM berkata jumlah hadiah kemenangan yang diberikan sejajar dengan acara-acara remaja yang serupa di seluruh dunia seperti Australia, Amerika Syarikat dan Eropah.
Portal Astro Awani hari ini melaporkan di Australia, kategori pelumba basikal bawah 17 tahun tidak akan diberikan sebarang hadiah wang tunai.
Satu acara sukan basikal Yorkshire di Britain dilapor menyediakan hadiah tunai bagi kategori remaja antara £10 (RM55) dan £20 (RM110), manakala untuk semua kategori bawah 12 tahun, tiada wang tunai disediakan.
– See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/pelumba-dapat-rm30-ya-kami-tidak-mahu-didik-dengan-wang-kata-khairy#sthash.wgW51Klv.dpuf