Sebelum ini penampilan pelakon Renee Zellweger rancak dibualkan di laman media sosial. Apa tidaknya, bintang filem itu mengejutkan ramai apabila muncul dengan rupa paras yang tidak lagi sama seperti dulu.
Zellweger mengejutkan orang ramai ketika menghadiri sebuah majlis anjuran majalah Elle dengan kulit yang lebih tegang dan sepasang mata yang berbeza berbanding asalnya. Malah ada yang hampir tidak mengenalinya dan tidak kurang menyamakannya dengan Cameron Diaz. Spekulasi mengatakan perubahan drastik itu bukan kerana penambahan atau kehilangan berat badan tetapi disebabkan pembedahan plastik walaupun Zellweger tidak pernah mengakuinya.
Walaubagaimanapun, pelakon yang bakal kembali dalam fracais filem Bridget Jones pada tahun ini berkata kepada rancangan Today di Amerika Syarikat bahawa isu ini bukan sebahagian daripada hidupnya. Malah, dia akui tidak ambil penduli pandangan orang ramai tentang transformasi wajahnya.
“Apabila saya di rumah, saya tidak tahu tentang isu ini. Saya tidak menggunakan media sosial jadi saya tidak tahu (apa yang dibincangkan),” katanya.
Rancangan yang disiarkan di saluran NBC turut membuat perbandingan gambar-gambar Zellweger, termasuk gambar beliau pada tahun 2014. Terdapat pelbagai spekulasi tentang perubahan drastik pelakon itu namun beliau anggap ia sebagai “bodoh”.