Cukup sempurna dan elegan YM Anisha Rosnah!
Berakhir sudah perkahwinan diraja pada minggu lalu yang membawa ribut hampir seluruh dunia. Putera Mateen dari Brunei Darussalam akhirnya bersatu dengan cinta hati, Anisha Rosnah Isa-Kalebic. Sama cantik dan sama pada, tidak ada kata lain yang boleh disinonim dengan dengan pasangan pengantin baharu ini.
Saat ramai mata-mata melihat kecantikan dan fesyen pada hari perkahwinan mereka. Sudah pasti tidak terlepas melihat butiran aksesori gemerlapan yang melekap pada Anisha Rosnah. Menarik kali ini DIVA ingin berkongsi tentang tiara rasmi yang dipakai Anisha ketika majlis persandingan.
Menurut dari Tatler Asia, tiara yang digayakan oleh Anisha Rosnah ialah dari jenama barang kemas Flower Diamond. Ia sebuah tiara yang biasa dipakai oleh para kerabat diraja atau sebagai aksesori lengkap kepala pada hari istimewa seperti perkahwinan.
Pada asalnya tiara ini untuk majlis perkahwinan kepada kekanda Putera Mateen iaitu Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah pada Januari 2023. Setahun kemudian, Anisha Rosnah pula dianugerahkan tiara ini sebagai aksesori rasmi untuk majlis gemilangnya.
Flower Diamond merupakan jenama barang kemas mewah berasal dari Singapura. Jenama ini diasaskan oleh Belinda Chua pada tahun 1996 dan sehingga kini menjadi pilihan utama untuk rekaan aksesori gabungan elegan dan klasik.
Tiara yang dipakai oleh Anisha Rosnah ini mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan! Ia bermula dari proses rekaan, pilihan sumber batu permata dan sehinggalah proses akhir dicantumkan. Satu lengkungan tiara ini memerlukan 833 batu berlian dengan pelbagai potongan seperti bujur, oval, segi-empat dan bulat.
Biarpun ia sarat dengan kerlipan batu permata dan berniali sehingga 132 karat. Flower Diamond berjaya menghasilkan tiara dengan aura kontemporari seperti mana yang dihajati oleh Puteri Azemah. Seterusnya dipakai pula oleh Anisha Rosnah seperti ia sebuah tiara baru.
Untuk perkahwinan Putera Mateen dan Anisha Rosnah ia benar-benar serasi dengan mereka. Bagi DIVA majlis perkahwinan mereka sangat ringkas berbanding majlis perkahwinan diraja yang lain. Mereka berdua tidak perlu berlebihan kerana ketampanan dan kejelitaan mereka menjadi perkara nombor satu.