Gaya Minimalis Baju Kurung & Puteri-Puteri Diraja Pahang, Ini Yang Boleh Kita Tiru..

Sentiasa ayu dan sopan itulah yang ditonjolkan oleh lima puteri dari kerabat diraja Pahang setiap kali muncul di majlis-majlis rasmi. Cukup senang sekali melihat penampilan yang dibawa. Walaupun sekadar berbaju tradisional tapi entah mengapa DIVA tetap terpesona.

Mungkin ada yang tidak mengenali lima puteri bersaudara ini iaitu Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Ilyana iaitu dari perkahwinan bersama akstres 80-an Julia Rais. Manakala Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah anakanda YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Menariknya, hubungan kekanda-adinda ini cukup akrab dan berkongsi kejelitaan tersendiri.

Foto – Twitter

DIVA tertarik dengan penataan gaya baju kurung yang ditonjolkan oleh puteri-puteri kerabat diraja Pahang. Apa kata kita ambil sedikit ilham, supaya lebih anggun dan jelita seperti para puteri ini. Tak salah bukan?

  • Hiasan manik

Kita mulakan yang paling ringkas dan bersahaja. Baju kurung dengan hiasan manik pada bahagian garis leher dan dada. Sudah cukup sebagai ganti aksesori yang sarat. Bahkan dapat menambah keserian baju kurung yang dipakai.

Foto – Instagram Tengku Ilyana / The Star
  • Aksesori barang kemas ‘halus’

Lihat Tengku Ilyana dan Tengku Puteri Afzan yang hanya mengenakan perhiasan barang kemas yang minimal. Anting-anting atau rantai dengan perincian halus sangat sesuai untuk si anak dara yang manis rupawan.

Foto – Instagram Tengku Ilyana / Instagram Tengku Puteri Afzan
  • Beg tangan genit

Bila ke majlis rasmi dan mahu mengenakan baju kurung, lebih padan menjinjit beg tangan yang kecil. Sebagai contoh, beg tangan atau clutch seperti Tengku Ilyana dan Tengku Puteri Afzan. Barulah tak tenggelam penampilan kamu dan jangan lupa cuba pilih warna beg tangan yang sedondon.

Foto – Instagram Tengku Ilyana / Instagram Tengku Puteri Afzan
  • Tambah selendang

Puteri-puteri diraja Pahang juga sering tampil dengan selendang, ia memberi aura wanita Melayu terakhir dari pengamatan DIVA. Kalau anda ingin kelainan boleh tambah selendang digayakan pada bahu atau lilit ringkas di kepala.

Foto – Repictblog

Bersama persalinan baju kurung yang tidak pernah lekang dan dihiasi dengan aksesori perhiasan yang serba ringkas. DIVA yakin puteri-puteri ini ingin memberi contoh yang terbaik pada generasi muda untuk tidak lupa pada pakaian warisan.

Selamat mencuba.

Related Posts