Bila dah lama menjadi single, situasi ini membuatkan ramai orang menjadi takut untuk menjalinkan hubungan semula dengan orang baru. Mungkin perasaan takut seseorang individu itu terjadi disebabkan oleh pengalaman hubungan yang pahit?
Walaupun banyak perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi single dalam tempoh yang lama, tetapi perasaan untuk memulakan hubungan baru itu pasti ada.
Tidak dinafikan, rasa kekok untuk memulakan hubungan baru itu pasti membuatkan seseorang itu berfikir-fikir sama ada meneruskan hasratnya atau terus single. Bagi anda yang ingin memulakan hubungan baru, apa yang perlu anda tahu dan lakukan?
Bercinta Bila Bersedia
First things first! Bercinta apabila anda bersedia. Sebelum memulakan hubungan baru, anda perlu tahu sama ada anda betul-betul bersedia untuk hubungan baru ini atau tidak.
Sekiranya anda memulakan hubungan ini disebabkan kekosongan yang dirasai, berkemungkinan anda tidak akan boleh move on daripada hubungan lepas, di mana anda akan membawa segala memori dalam hubungan baru.
Secara tidak langsung ia hanya memberikan harapan palsu kepada pasangan anda. Dan jangan sesekali memulakan hubungan disebabkan anda berasa kesunyian atau disuruh oleh orang lain.
Berkomunikasi
Apabila terlalu lama menjadi single, ia boleh membuatkan anda lupa bagaimana rasanya untuk berkongsi ruang, masa dan bergantung kepada orang lain atau memasukkan orang lain ke dalam hidup.
Dalam memulakan hubungan baru, ada masanya kebebasan anda boleh disalah anggap. Jadi untuk mengelakkannya, anda dan pasangan perlu belajar untuk berkomunikasi dengan sikap keterbukaan bagi mengetahui tentang diri masing-masing.
Merasai kebebasan walaupun dalam hubungan itu penting tetapi menerusi komunikasi pasangan anda tidak akan berfikir bahawa anda tidak menghargai pendapat dan keperluannya.
Kenali Diri Sendiri
Anda tidak perlu rasa terburu-buru untuk memulakan hubungan baru dan tidak salah untuk mengambil masa untuk berhenti seketika. Jangan disebabkan rasa tertekan disebabkan persekitaran atau kesunyian anda mengambil langkah yang salah.
Kenali dahulu diri anda yang sebenar. Tidak salah untuk melihat hubungan lepas kerana anda perlu pelajari apa yang menyebabkan hubungan itu berakhir.
Anda boleh menilai kembali hubungan yang lepas untuk mengetahui hubungan apa yang anda mahu pada masa akan datang dan apa yang anda boleh tawarkan untuk memastikan anda bersedia,
Hubungan Lepas
Jarak dan masa di antara hubungan lepas dan hubungan baru boleh membuatkan anda berfikir dan menilai kembali kenapa hubungan lepas tidak berjaya dan sesuai. Melalui renungan ini, anda boleh memperbaiki diri dan membantu diri untuk mencari pasangan yang sesuai.
Cari perkara yang positif untuk dikekalkan dan perkara negatif untuk diperbaiki bagi hubungan baru anda. Melalui cara ini, anda akan lebih gembira dan mendorong kepada hubungan yang sihat dan berkekalan.
Jangan Lakukan Perbandingan
Setelah memulakan hubungan baru, semestinya akan ada kekurangan dan kelebihan dalam diri pasangan anda. Paling penting ketika ini, anda jangan sesekali melakukan perbandingan di antara pasangan baru dan pasangan lama.
Perbandingan ini akan membuatkan anda menjadi tidak bersyukur dan tamak. Pada masa yang sama, perasaan pasangan anda boleh terluka. Jika ada kekurangan, terimalah dengan hati terbuka atau bantu pasangan anda dalam mengisi kekurangannya.
Jangan Bercakap Tentang Bekas Kekasih
Sekiranya anda serius untuk memulakan hubungan baru ini dan ingin kekalkannya, jangan pernah bercakap tentang pasangan yang lalu. Topik ini tidak sesuai dan akan membuatkan pasangan baru anda berasa kekok dan keliru dengan hubungan kamu.
Jangan pernah bercakap bagaimana hubungan lalu membuatkan anda terluka dan sebagainya kerana ia akan mematikan suasana yang excited untuk pasangan yang baru ingin mengenali diri masing-masing.
Jangan Takut
Memulakan hubungan baru memang menakutkan kerana kita tidak tahu bagaimana dan apa yang perlu buat tentangnya. Sekiranya anda berasa takut, cuba lihat kembali kenapa ketakutan itu muncul.
Kebanyakkan orang apabila telah lama single, mereka akan merasakan diri mereka tidak cukup atau cinta mereka akan ditolak. Apabila anda merasai ketakutan sebegini, ia hanyalah mengubah tingkah laku kita sebenarnya.
Cari dan fahami ketakutan anda, dan dari situlah anda boleh atasinya. Apabila ia telah diatasi, anda pasti rasa seronok dan teruja untuk mengenali dan explore hubungan baru anda!
Tak salah untuk memulakan semula hubungan baru setelah sekian lama keseorangan. Tetapi sebelum memulakan hubungan baru, pastikan anda bersedia sepenuhnya dan yakin dengan diri sendiri.