Sama juga seperti gaya baju raya tahun ini, rata-rata koleksi hijab yang diketengahkan jenama-jenama fesyen muslimah semuanya menerapkan elemen mewah.
Mementingkan perincian dan tekstur fabrik tudung yang digunakan, Wanista kongsikan bersama lima trend hijab yang bakal meletup sepanjang Aidilfitri 2018!
#1 Fenomena Inner Turban
Baik jenama Naelofar mahupun Fareeda, masing-masing berlumba keluarkan koleksi inner tudung yang konsepnya disunting daripada pemakaian turban. Bahagian depan atas kepala yang dilitupi inner turban itu tadi akan dibiar keluar sedikit untuk cipta sensasi ranggi.
#2 Simpulan Riben Feminin
Kalau tahun lepas kecoh dengan tudung ‘bulu-bulu’, tahun ni lain pula bila ada beberapa jenama hijab popular keluarkan tudung yang lengkap dijahit perincian riben. Paling penting, kedudukan riben tu boleh dilaras mengikut kehendak si pemakai.
#3 Kerlipan Kristal
Wanita mana yang tak jatuh hati bila nampak benda berkilat-kilat? Jika tak gemar memakai kerongsang glamor, cukuplah pakai tudung yang dihiasi batu permata.
#4 Sensasi Fabrikasi Satin Organza
Beri nafas baru kepada gaya pemakaian tudung di pagi raya dengan seleksi hijab daripada helaian material 2 dalam 1 ini. Dari sebelah sisi ia kelihatan seperti satin, dari arah lain pula nampak seperti organza. Pantulan sinaran pada tudung ini lantas membuatkan foto-foto #OOTDRAYA menjadi gah.
#5 Bunga Timbul Tampil Aura Menggoda
Jika wanita Melayu dulu-dulu menyemat bunga di celah sanggul, mengapa tidak muslimah moden mengenakan helaian tudung manis yang dihiasi rimbunan bunga timbul sebegini? Tampak berkelas! Wanista puji kerana konsep floral yang ketengahkan tidak klise.
Apa-apa pun terpulang kepada individu kerana penulis pasti ada di antaranya yang masih selesa mengenakan selendang chiffon polos kan?
BACA: Trend Baju Raya 2018 Dan Ini Yang Mengujakan!
Lagi beberapa minggu menjelang raya… selamat membeli-belah! ❤