Bila bercakap tentang makanan ala barat, kentang putar atau kentang lenyek (mashed potato) adalah antara hidangan sampingan yang paling digemari ramai, daripada golongan kanak-kanak hinggalah orang yang sudah berumur.
Lebih enak jika disira dengan brown sauce, tetapi kentang lenyek ini boleh dijadikan makanan bayi juga jika dimakan begitu sahaja tanpa kuah tau? Bayi anda mesti suka!
Aspek yang paling penting untuk menghasilkan kentang lenyek yang enak adalah dengan menggunakan kentang Australia kerana teksturnya yang lebih berkanji serta lebih mudah mendapatkannya dalam saiz besar.
Jom Wanista kongsikan resepi mudah cara membuat kentang lenyek sendiri di rumah.
Bahan Kentang Lenyek:
- 8 hingga 10 biji Kentang Australia (basuh bersih dan kupas)
- Susu segar
- Butter
- Garam sebagai perasa
Bahan Kuah Lada Hitam:
- Beberapa Sudu Campuran sos jenama Knorr [Demi-Glace Brown Sauce Mix]
- 1 Tin Sup cendawan jenama Campbell’s [Cream of Mushroom]
- 1/2 – 1 cawan air
Cara Buat Kentang Lenyek:
1. Bersihkan dan kupas kulit kentang. Rendam, letak tepi. ***Jika kentang besar sila guna 8 biji (Cukup untuk 4 hingga 5 orang makan)
2. Jerang air dalam periuk, sebaik mendidih tambahkan satu hingga dua camca kecil garam dan masukan kentang yang sudah dikupas tadi.
3. Pastikan tutup rapat periuk agar kentang lekas masak dan empuk.
4. Untuk memastikan kentang sudah benar-benar empuk, boleh cuba cucuk kentang dengan garpu atau penghujung pisau.
5. Toskan kentang dan alihkan ia dalam mangkuk besar agar memudahkan proses melenyek.
6. Ketika kentang masih panas, lenyek ia menggunakan kayu pelenyek atau boleh juga guna batu lesung. Lenyek sehingga tekstur kentang halus.
7. Masukkan secubit garam serta tiga hingga empat sudu besar butter. Sambung lenyek kentang sehingga semuanya sebati.
8. Tuang 1/2 cawan susu segar sejuk ke dalam kentang dan gaul semua sekali.***Cuba rasa, jika rasa lemak masih kurang boleh tambah susu.
Cara Buat Kuah Sos Perang:
1. Masukan 1/2 hingga 1 cawan air ke dalam periuk. Kemudian masukan pula beberapa sudu besar serbuk campuran sos perang Knorr.
2. Terus kacau supaya serbuk sos tidak berbuku. Apabila sudah sekata, masukan pula separuh tin Cream of Mushroom Campbell’s.
3. Kacau sehingga semuanya memekat. ***Tak perlu tambah garam kerana serbuk sos berkenaan sudah ada rasa masin.
4. Setelah selesai boleh padamkan api dan biarkan kuah sejuk sebentar sebelum nikmatinya bersama kentang putar sebagai hidangan sampingan yang boleh dimakan dengan daging panggang atau ayam bakar.
Nak makan begitu sahaja pun boleh! Apa salahnya.
Selamat mencuba! ❤