Drastik habis! Itu adalah ungkapan tepat bagi menggambarkan betapa perubahan pemuda ini membuatkan ibunya hampir tidak kenal dengan anak sendiri saat melihat dirinya buat kali pertama, selepas menjalani pembedahan plastik di Korea menerusi rancangan realiti televisyen “Let Me In Thailand” musim ke-3 baru-baru ini.
Pemuda berusia 22 tahun itu adalah seorang pekerja kilang, pada hakikatnya memiliki rupa paras yang boleh dikira hodoh namun selepas menyertai rancangan realiti televisyen adaptasi daripada siri popular di Korea itu, fizikalnya serta-merta berubah bahkan kemunculan dirinya yang baharu itu bukan sahaja mengejutkan kaum keluarga sendiri malah menggemparkan netizen setempat di Thailand!
Pemuda bernama Noppajit Monlin ini memang sudah lama mempunyai hasrat untuk merubah rupa parasnya lebih-lebih lagi apabila kedudukan rahangnya yang senget itu menyukarkan dia untuk mengunyah makanan secara normal. Keyakinan dirinya semakin merundum membuatkan dia banyak menghabiskan masa untuk memencilkan diri daripada bergaul dengan orang lain. Noppajit juga mengaku bahawa dia akan makan tengahari berseorangan kerana malu dengan kekurangannya itu.
Walau bagaimanapun, akhirnya impian dia untuk menjadi seorang lelaki kacak tercapai selepas kos pembedahan plastiknya ditaja istimewa oleh siri rancangan televisyen tersebut. Noppajit telah menjalani pembedahan rahang, dahi dan kelopak mata di sebuah klinik profesional di Korea Selatan.
Sebagai bonus, pemuda bertuah ini juga diberi keutamaan untuk mendapatkan sejenis suntikan botoks yang dipanggil “salivary gland botox” iaitu sejenis prosedur untuk mengurangkan penghasilan air liur berlebihan seperti yang sering dialaminya sebelum ini serta rawatan kulit mewah untuk memudarkan parut jerawat di wajah.
Hasilnya! Noppajit kini adalah jejaka yang kacak dan kelihatan lebih berketerampilan.
Selama tiga bulan Noppajit dikuarantinkan bagi menjalani proses pemulihan secara berperingkat dan kelmarin, dia dijadualkan untuk bertemu semula dengan keluarga buat kali pertama. Ternyata, ibunya sendiri terkejut sekaligus sebak melihat perubahan ajaib yang berlaku terhadap anaknya yang kacak seperti seorang bintang K-Drama itu.