Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat barat untuk pengantin perempuan membaling bunga ke arah para tetamu wanita di hari bahagia mereka, namun lain pula dengan tindakan pengantin yang seorang ini.
Dirinya memilih untuk melemparkan rambut palsu yang digayakan pada majlis resepsinya menggantikan bunga tangan yang sepatutnya dijadikan objek simbolik perkahwinan.
Dalam pada itu, ramai yang memuji tindakan pengantin yang bernama Jamie Steinborn ini kerana hakikatnya dia adalah seorang pejuang kanser yang sedang bermatian melawan penyakit maut tersebut. Sudah 16 bulan dia dikesan menghidap kanser serviks dan kini rambutnya telah gugur sepenuhnya dipengaruhi rawatan berperingkat yang harus dihadapi.
Tindakan Jamie itu sekaligus menghiburkan para tetamu kerana dia berani menonjolkan diri sebenar biarpun penampilannya jauh berbeza dari apa yang selalu dilihat orang. Ini adalah cara untuk dirinya mengekspresikan keberanian bahawasanya dia adalah seorang wanita yang kuat dan tidak gentar dengan penyakit tersebut.
Dalam sebuah temu bual bersama portal Daily Mail, Jamie berkata, “Ini adalah peluang sekali seumur hidup. Saya mahu memberitahu semua orang biar apa pun cabaran yang dilontarkan kepada perjalanan hidup saya, saya pasti boleh menghadapinya dengan tenang. Saya akan baik-baik saja.
“Ya, ini adalah hari perkahwinan saya dan ya, saya memakai rambut palsu semasa majlis resepsi tetapi saya tetap berasa cantik walaupun kepala saya gondol sepenuhnya.”
Jamie adalah ibu tunggal yang telah pun mempunyai empat orang anak namun memutuskan untuk berkahwin dengan teman lelakinya, John, pada 12 Mei baru-baru ini.
Tonton Video Pengantin Baling Rambut Palsu Di Hari Perkahwinan