Jarang sekali dapat memandu jauh contohnya dari Kuala Lumpur ke Perlis. Tapi jika diberi tugasan kerja yang perlu untuk anda memandu ke tempat yang jauh dan baru terpaksalah dituruti juga. Kalau bagi kaum lelaki mereka lebih gagah untuk memandu lama ke destinasi yang jauh, berbanding dengan kaum hawa, kita akan merasa cepat letih dan ada kalanya mahu putus asa!
Umum tahu, antara faktor besar kemalangan jalan raya berlaku akibat pemandu yang memandu semasa mengantuk. Lumrah sebagai seorang manusia, kita punya waktu tertentu untuk berasa penat dan leka. Jadi Wanista ingin kongsikan beberapa tips ringkas untuk anda kekal segar sekiranya perlu memandu jauh :
Buat Beberapa Hentian Sepanjang Perjalanan
Tahukah anda negara Malaysia ‘kaya’ dengan RnR? Jadi anda tak perlu risau kerana setiap lebuhraya di negara ini mempunyai tempat perhentian untuk anda berehat dan sebagainya. Anda boleh berhenti setiap 2 jam perjalanan, lakukan rengangan kaki dan badan, pastikan anda telah ke tandas dan sembur minyak wangi untuk berasa lebih segar dan yakin. Sedia untuk mulakan pemanduan yang seterusnya.
Lantik ‘co-pilot’
Bawa sahaja rakan atau adik-beradik anda untuk jadi peneman. Perjalanan jauh lebih menyeronokkan dengan diisi perbualan dan percakapan. Anda pasti tidak bosan dan lebih berjaga-jaga ketika memandu. Selain itu, mereka juga boleh sedikit sebanyak membantu untuk melihat peta atau ‘waze’.
Minum Kopi
Rasa malas untuk singgah di RnR atau ingin berjimat dari membeli? Bekalkan sahaja gula, uncang atau serbuk kopi dan termos air panas. Sediakan kopi sendiri lebih sedap dan ‘kaw’. Semua sedia tahu, kopi dapat merangsang otak manusia dan beri tenaga yang berpanjangan.
Jangan Paksa Diri Anda
Ya, kalau anda betul dah tak larat dan mata pun sudah mula layu, lebih baik anda berhenti seketika untuk lelap. Kunci jam untuk 15minit tidur, cukup sebagai ‘energy boost nap‘. Jangan lebih dari 20minit, dikhuatiri badan akan menjadi lemah dan yang paling merugikan anda pasti akan lewat sampai ke destinasi.
BACA : 10 Perkara Yang Harus Anda Lakukan Setiap Kali Melancong
Elak Memandu Selepas Tengah Malam
Secara normalnya, manusia akan tidur pada jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi ianya sebahagian dari sifat biologi manusia. Bayangkan jika anda mulakan perjalanan pada tengah malam atau memandu sekitar waktu tersebut, sangat berbahaya dan berisiko. Pastikan anda dapat tidur yang secukupnya dan mulakan perjalanan diawal pagi dari sebaliknya.
Sediakan Snek
Selain tidur selama 15minit, ambil juga snek ringan seperti coklat bar, kekacang atau buah-buahan untuk ‘energy boost‘. Elakkan makanan ringan yang tidak sihat, ia bukan sahaja memudaratkan kesihatan malah beri kesan mengantuk dari kandungan garam dan bahan MSG yang tinggi.
Memandu Dengan Tingkap Terbuka
Penghawa dingin juga penyebab rasa mengantuk didalam kereta, cuba sekali sekala anda memandu dengan tingkap terbuka. Selain dapat menghirup udara segar, secara tidak langsung badan anda juga akan mengalami suatu kejutan. Tapi jangan terlalu lama, takut pemanduan anda mula terganggu cukup untuk melepaskan rasa mengantuk.
Jangan Ambil Alkohol
Jangan minum alkohol sebelum memandu, walaupun pengambilan anda dibawah pengaruh alkohol ketika memandu tapi ingat kuantiti alkohol yang sedikit pun boleh menyebabkan rasa mengantuk dan mabuk.
Titipkan 8 tips diatas setiap kali memandu, tidak kiralah jauh ataupun dekat. Pastikan pemanduan anda juga dalam keadaan selamat dan baik.