Perubahan laluan tren Ampang yang bermula sejak Ahad bukan sahaja mengundang kemarahan pekerja yang lewat ke pejabat semalam.
Malah, keadaan sesak di situ mencipta peluang bagi lelaki warga asing mengambil kesempatan.
Kharunissa Mat Din, antara yang terkandas di stesen Chan Sow Lin (CSL) pagi semalam, mendakwa segelintir warga asing meraba ketika orang ramai bergelut memasuki tren.
“Tidak cukup dengan itu, kami terpaksa berebut-rebut dan tolak-menolak. Tidak kira lelaki atau perempuan kerana tidak mahu lewat ke pejabat.
“Kami sedia maklum mengenai perubahan laluan tetapi tidak sangka ia merumitkan lagi keadaan di mana kami terpaksa menunggu lama tren dari Putra Heights di CSL yang padat dengan penumpang,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
RapidKL dalam satu kenyataan berkata kelewatan LRT laluan Ampang dan Sri Petaling semalam disebabkan jumlah tren kurang daripada biasa.
“Hal ini disebabkan masalah bekalan kuasa yang dihadapi di depoh baru LRT Kampung Kuala Sungai Baru di Puchong pada 6.16 pagi,” syarikat prasarana itu dilaporkan berkata.
Akhbar sama melaporkan kesesakan yang berlarutan hampir dua jam sejak 7 pagi menimbulkan kemarahan penumpang.
Kesesakan teruk itu dilaporkan menyebabkan penumpang menangis, mengamuk dan bergaduh gara-gara berebut tren ke pejabat.