Kira-kira setahun yang lalu, Christian Louboutin melebarkan sayapnya di industri kecantikan. Produk kecantikan pertama dilancarkan adalah rangkaian cat kuku yang begitu menarik perhatian. Kali ini pereka yang terkenal dengan kasut bertapak merah ikoniknya itu mengeluarkan koleksi gincu bibir yang begitu mewah dan cantik.
Koleksi gincu bibir Louboutin ini disajikan dalam sebuah tabung berwarna emas dan hitam yang kelihatan begitu elegan. Bungkusannya diilhamkan dari seni bina Babylonia dan barang-barang antik Timur Tengah. Malah, Christian Louboutin menjelaskan Ratu Nefertiti dari Mesir adalah muse utamanya dalam mereka bentuk gincu bibir tersebut.
Kreatifnya, gincu bibir ini juga multi-functional, boleh dijadikan aksesori rantai. Menarik bukan? Mempunyai 38 pilihan warna yang diilhamkan daripada warna-warna kasut dan beg ikonik dari rumah fesyen itu. Koleksi ini akan mula dijual pada September di laman web rasmi Christian Louboutin.
[SUMBER]