Mengimbau kembali pelajaran pendidikan agama Islam ketika di bangku sekolah dahulu , definisi berpuasa adalah menahan diri daripada makan dan minum serta segala perkara yang membatalkan puasa dengan berniat, bermula dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.
Kalau di Malaysia sendiri sahaja, waktu imsak dan berbuka puasa di setiap negeri juga berbeza. Di Sabah misalnya, waktu Maghrib jatuh lebih awal daripada negeri-negeri di semenanjung.
Secara purata, di Malaysia tempoh umat Islam berpuasa adalah lebih kurang 13 jam. Namun sedarkah anda yang sebenarnya tempoh berpuasa di seluruh dunia adalah berbeza -beza. Berikut kami kongsikan infografik tentang tempoh masa berpuasa umat Islam seluruh dunia. yang dipetik dari laman web Huffingtonpost .
Berdasarkan infografik tersebut, rupa-rupanya tempoh berpuasa di Malaysia masih dalam kategori yang lebih singkat. Tempoh puasa paling singkat adalah di Sydney , Australia di mana umat Islam yang berpuasa di sana perlu berpuasa kira-kira hampir 10 jam sahaja. Manakala berpuasa di negara-negara barat memerlukan tempoh masa yang lebih lama malah di Reykjavik , Iceland tempoh berpuasa adalah hampir 22 jam daripada masa 24 jam yang kita ada.
Jadi jangan merungut ya menunggu masa berbuka puasa tiba. Ingat, kita berpuasa lebih kurang 13-14 jam sahaja sehari ada umat Islam di negara lain yang menunggu lebih lama daripada kita .