Malaysia terus diaibkan apabila tewas kepada Palestin dengan 6-0.
Palestin terus ‘mengajar’ Malaysia cara bermain bola sepak apabila mencatat kemenangan besar 6-0 pada aksi Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 di Amman, Jordan, malam tadi.
Tewas pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu dengan jumlah jaringan yang sama, Harimau Malaya sekali lagi mempamer persembahan hambar sekalipun berdepan lawan yang terpaksa beraksi gelanggang berkecuali.
Pada aksi di Stadium Antarabangsa Amman itu, Malaysia bermula dengan agak baik apabila dapat membendung serangan Palestin sebelum segala-galanya berubah apabila tuan rumah meledak gol pertama menerusi Jonathan Zorrilla pada minit ke-37.
Seperti terkejut dengan jaringan itu, gawang Malaysia yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat sekali lagi bocor seminit kemudian kali ini menerusi penyerang, Ahmed Abunahia. Abunahia kemudian menambah gol kedua peribadi pada minit terakhir perlawanan untuk Malaysia ketinggalan 3-0 berakhir babak pertama.
Tampil lebih meyakinkan pada awal babak kedua dengan beberapa cubaan tepat ke gawang Palestin, sebaliknya berlaku apabila tuan rumah meledak gol keempat menerusi hatrik Abunahia pada minit ke-58. Jaringan itu jelas melemahkan semangat pemain Malaysia dengan Palestin terus menambah gol menerusi Tamer Seyam pada minit ke-88.
Tidak cukup dengan itu, Jaka Hbaisha menambah derita Malaysia dengan jaringan keenam pada masa kecederaan. Kekalahan menyaksikan peluang Malaysia yang ketika ini dibimbing jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 seakan tertutup.
Untuk layak ke pusingan kelayakan Piala Asia 2019, Malaysia yang berada dalam Kumpulan A perlu menjadi pasukan di kedudukan keempat terbaik daripada lapan kumpulan.
Begitupun, ia seakan tipis berdasarkan kekalahan besar yang dicatat sebelum ini termasuk ketika dimalukan 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu, 3 September lalu.
Palestin dalam pada itu terpaksa beraksi di gelanggang berkecuali selepas pihak berkuasa negara itu gagal memastikan keselamatan bagi pasukan pelawat.